Butik Mama - Awning broked menyeri penampilan tudung

Tudung. Inilah yang menjadi kegilaan wanita Muslimah masa kini. Setiap hari, ada sahaja rekaan baru yang keluar. Setiap hari juga kita akan melihat wanita-wanita menggayakan pelbagai tudung yang berbeza.

Jika dahulu, selendang, tudung bawal dan tudung labuh membuatkan wanita teruja. Tetapi peredaran zaman dan pengaruh daripada gaya pemakaian wanita di Asia Barat, rekaan tudung di negara ini turut mengalami perubahan.

Ada yang hanya perlu disarungkan sahaja atau lebih dikenali tudung siap pakai. Ada pula hanya perlu dililit di sisi pipi dan ada yang menggunakan kertas keras yang dipanggil awning bagi memberi penampilan dahi dan muka yang lebih kemas lagi cantik dipakai.

Walaupun pelbagai rekaan baru dikeluarkan dan nama diberi, yang pasti semuanya bertujuan untuk menutup aurat wanita seperti mana disyaratkan oleh Islam.

Tidak ketinggalan juga dengan pemilik Butik Mama, Nor Ainna Ibrahim yang turut menceburi dunia pengeluaran tudung.

Setelah tiga tahun menjalankan perniagaan beg tangan, beg dompet, jubah dan busana melalui Internet, bekas pegawai bank ini merasakan sesuatu yang kurang dalam memperlengkapkan koleksi busana Muslimah yang dijalankan.

Atas nasihat kawan, beliau bersetuju untuk menawarkan koleksi tudung yang istimewa dan lain daripada yang lain.

''Syarat utama sebelum menceburi bisnes tudung ialah mencari kelainan. Saya tidak mahu tudung yang saya jual sama seperti ada di pasaran. Justeru itu, dengan perahan idea, maka pada bulan Disember tahun lalu, maka lahirlah tudung Maisarah,'' katanya ketika ditemui di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Maisarah mempunyai keistimewaannya. Semuanya terletak pada awning yang eksklusif menggunakan kain broked Korea, kain sari India dan kain sutera Thai. Awningnya membentuk cantik wajah.

Awningnya juga tahan lasak mahupun menggunakan cucian mesin basuh. Tidak akan patah atau meninggalkan kesan berlipat, berbeza dengan awning tudung yang ada di pasaran.

''Pemilihan tudung pula daripada kain lycra yang selesa dan sejuk dipakai dari pagi hingga ke malam. Terdapat tiga saiz iaitu S, M dan L. Harganya pula dari RM59 hingga RM79,'' katanya.

Menggunakan penyampai berita Nasional TV1, Siti Murni Abdul Aziz sebagai duta tudungnya, menurut wanita yang mempunyai impian untuk mengembangkan bisnes tudungnya hingga ke Brunei dan Singapura ini, pelanggan boleh menghubungi 012-3056727 atau datang ke premis atau membuat layari www.butikmama2u.com.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI