Adakah anda gemar melakukan aktiviti luar seperti keluar masuk hutan dan mendaki gunung? Pada masa yang sama, anda juga bimbang tersilap haluan lalu tersesat.
Kalau itu yang dikhuatiri berlaku, Garmin eTrex H merupakan gajet yang mampu menjadi 'teman' baik anda.
Dilengkapi penerima sistem kedudukan global (GPS) berkualiti tinggi yang dikunci dengan isyarat satelit, maklumat kedudukan dipapar dengan pantas dan tepat walaupun pemiliknya sedang berada dalam situasi paling sukar.
Sebagaimana eTrex popular yang lain, gajet berwarna kuning dan kecil ini ringan dan hanya sebesar telapak tangan.
eTrex H yang memiliki sensitiviti tinggi boleh membawa anda ke sesuatu lokasi dengan cepat dan tepat. Pada masa yang sama, ia mengekalkan catatan lokasi GPS anda walaupun berada dalam hutan tebal dan jauh di dalam gaung.
Selain memandu arah, gajet ini menunjukkan koordinasi, anggaran masa perjalanan, jarak destinasi, waktu dan kadar kepantasan pergerakan.
Direka untuk lasak
Ia juga mudah dikawal dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Bukan sahaja cepat diaktifkan, eTrex H boleh dikawal dengan menekan lima butang fungsi di kedua-dua sisi peranti.
eTrex H berfungsi sebagai penunjuk arah yang cekap walaupun penggunanya tidak mempunyai peta.
Malah, warnanya yang terang membolehkan eTrex H dicari dengan mudah jika disimpan dalam perahu atau di dalam beg sandang. Walaupun terjatuh atau terendam di dalam air, ia masih boleh berfungsi dengan baik.
Dengan pemilikan eTrex H yang berharga RM560, anda boleh mengembara selama mana yang anda mahukan kerana ia mampu bertahan sehingga 17 jam dengan hanya menggunakan dua bateri AA.
Sementara anda berjalan di dalam hutan, anda boleh menyimpan 500 poin jalan di dalam memori. Cukup dengan memasukkan lokasi mana yang anda ingin pergi, eTrex H umpama deria penglihatan walaupun tanpa petunjuk jalan atau peta.
Untuk kembali ke lokasi awal, anda hanya perlu menggunakan fungsi eksklusif Trackback untuk menterbalikkan log bagi membantu anda kembali ke lokasi asal.