Kit jenazah Dunia Kifayah

Dalam mengharungi kehidupan seharian kita tidak dapat menduga apa yang akan berlaku pada masa hadapan termasuklah soal kematian.

Kematian akan datang tanpa memberi sebarang amaran sehingga kebiasaannya membuatkan kita tidak bersedia dan sukar mencari barangan pengurusan jenazah pada saat-saat akhir.


Menyedari kepentingan itu, sebuah syarikat bumiputera Dunia Kifayah yang ditubuhkan pada September 2009 membangunkan kit lengkap pengurusan jenazah bertujuan untuk memudahkan umat Islam dalam menguruskan jenazah dengan lebih seragam, tertib dan sistematik.

Pengurus Besar Dunia Kifayah, Jasri Jamil, berkata, pengenalan produk keluaran syarikatnya diharap dapat membantu umat Islam memenuhi keperluan dan penyeragaman pengurusan jenazah sebagai satu tuntutan fardu kifayah.

"Produk ini juga dikeluarkan agar dapat memupuk kesedaran khususnya di kalangan generasi muda. Asalkan kit pengurusan jenazah ini ada sesiapa sahaja berupaya untuk menguruskan jenazah tidak kira di mana mereka berada.

"Melalui produk ini, umat Islam dapat mengelak kelewatan untuk menguruskan jenazah kerana tidak mempunyai bekalan mencukupi apabila berlakunya kematian," katanya.

Kit lengkap pengurusan jenazah yang diperkenalkan Dunia Kifayah mengandungi 20 peralatan utama meliputi peralatan dan bahan asas untuk pengurusan jenazah seorang Islam.

Ujar Jasri, peralatan tersebut merangkumi tiga helai kain kapan, kain kemban, tudung, baju, kain murung (enam set), sarung bantal (empat helai), tali (lima helai), kapas dua gulung, air mawar, akar sintok, putik kapas (15 batang), celak, kapur barus, minyak atar, sabun, serbuk cendana, apron plastik, plastik sampah, sarung tangan getah dan topeng muka.

Katanya, produk itu merupakan kit pengurusan jenazah yang paling lengkap boleh didapati di pasaran. Jasri menegaskan produk kelengkapan itu diperkenalkan bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan kerana jika diamati tuntutan fardu kifayah sebelum ini sering dipandang ringan oleh masyarakat Islam walaupun ia perkara wajib.

Katanya, melalui pengalaman sendiri, memang sukar mencari kelengkapan kerana tidak semua kedai menjualnya dan perkara itu merupakan salah satu faktor kit lengkap pengurusan jenazah dibangunkan syarikatnya.

"Produk kit pengurusan jenazah ini telah dipasarkan sekitar Johor dan kami menyasarkan untuk memperluas lagi pasaran sehingga seluruh negara.

"Kita juga sedang dalam perancangan untuk memasarkan produk ini ke luar negara seperti di Indonesia, Singapura dan Brunei," katanya lagi.

Tanah perkuburan Kifayah

Menyentuh mengenai perancangan jangka pendek, Jasri menambah, syarikatnya sedang dalam proses membangunkan kit kelengkapan jemaah haji dan umrah.

"Kita ingin memudahkan lagi bakal-bakal jemaah haji dan mereka yang ingin mengerjakan umrah," ujarnya.

Dalam pada itu, syarikat Dunia Kifayah juga bercadang untuk mempunyai van jenazah dilengkapi dengan pemandu yang akan membantu menyediakan peralatan memandikan dan pengebumian jenazah.

Jasri menambah, perancangan jangka panjang pula mewujudkan panel pengurus jenazah di setiap negara yang mempunyai rakyat beragama Islam.

"Kita juga bercadang untuk mempunyai tanah perkuburan Kifayah yang diuruskan sepenuhnya oleh Dunia Kifayah. Ia lengkap dengan segala infrastruktur seperti surau, pejabat urusan Kifayah, tapak letak kereta dan khidmat buggy.

"Tanah perkuburan ini nanti akan dikawal 24 jam oleh pengawal keselamatan dan hanya boleh dimasuki oleh ahli keluarga yang berdaftar sahaja. Apabila ia menjadi realiti kelak, kami berharap tanah perkuburan Kifayah akan menjadi tanda aras untuk diikuti oleh pengurusan tanah-tanah perkuburan lain di seluruh negara," ujar Jasri lagi.

Tambahnya, apa yang ingin diketengahkan lebih kepada usaha untuk menjadikan tanah perkuburan sebagai mesra masyarakat dan persekitaran.

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM