Warisan Roaster dengan gabungan cita rasa daripada campuran asam boi dan rempah ratus eksotik diperkenalkan sebagai resipi baru di restoran Rasamas. Resipi ayam panggang tersebut adalah salah satu daripada lima resipi yang berjaya ke peringkat akhir dalam pertandingan masakan ayam RasaMas Roaster tahun lalu.
Sajian Warisan Roaster, hasil ciptaan Mohd. Salezahrin Mohd. Saleh dari Ampang, Selangor itu merupakan campuran cita rasa masakan pelbagai budaya di Malaysia.
Para pengguna boleh mencuba keenakan hidangan tersebut di 40 cawangan RasaMas di seluruh negara untuk tempoh yang terhad sahaja mulai 8 April lalu sehingga 2 Jun ini.
Sajian terbaru itu didatangkan dalam beberapa hidangan pada harga yang berpatutan iaitu bagi setiap suku ayam hanya berharga RM11.80, setengah ekor ayam pula berharga RM16.80 manakala seekor ayam dijual pada harga RM25.80.
Di samping itu, RasaMas turut menawarkan hidangan kombo Warisan Roaster untuk set individu pada harga RM13.80, hidangan dua orang pada harga RM29.80 dan seterusnya set empat orang pada harga RM49.80.
Bagi melengkapkan lagi hidangan kombo tersebut, RasaMas turut menyediakan hidangan sampingan seperti begedil, ulam, jejari ikan dan tauhu.
Menurut Pengarah Urusan KFC Holding (Malaysia) Bhd., Jamaluddin Md. Ali, pemilihan hidangan tersebut adalah susulan daripada kejayaan Warisan Roaster mendapat tempat kedua dalam rancangan masakan Syoknya RasaMas anjuran rangkaian restoran itu sebelum ini.
Pihaknya yakin Warisan Roaster akan turut laris berikutan sambutan hebat yang diberikan oleh orang ramai terhadap rancangan realiti TV tersebut. Ditambah dengan campuran asam boi sebagai ramuan memerap ayam, menjadikan hidangan itu lebih istimewa.
Majlis tersebut turut diserikan dengan demonstrasi penyediaan Warisan Roaster daripada penciptanya, Mohd. Salezahrin.
Selain Warisan Roaster, dua hidangan ayam yang turut disajikan di RasaMas termasuklah Percik Roaster dan Pepper Roaster serta dua hidangan ayam panggang tanpa tulang iaitu Honey PrimeRoast dan Peperroast.
Restoran RasaMas turut memperkenalkan hidangan ayam Hainan sebagai menu kekal.