Shiseido White Lucent

Cuaca tidak menentu dan gas atmosfera mempengaruhi suhu serta jumlah tenaga suria yang ditapis sebelum sampai ke bumi. Fenomena itu menyebabkan lapisan atmosfera menjadi semakin tipis dan sinaran ultra lembayung (UV) yang agak kuat terus kepada kulit, sekali gus mengundang masalah, terutama apabila keluar bintik hitam serta pigmentasi.

Bintik gelap adalah punca utama kepada masalah pigmentasi yang membimbangkan wanita. Ini berlaku apabila melanin dirembes keluar dengan lebih banyak sehingga ‘merebak’ ke kawasan lain yang tidak terdapat tompokan bintik hitam, seperti hidung, pipi dan dahi.

Bagi membantu mengatasi masalah berkenaan, jenama produk kecantikan, Shiseido memperkenalkan rangkaian produk terbaru, White Lucent menerusi teknologi canggih, 4MSK (4-MethoxySalicylicate) yang digunakan bagi membantu mengawal pembentukan melanin. Teknologi berkenaan memberi keberkesanan pencerahan secara eksklusif.

Saintis Penyelidikan dari Jabatan Kajian dan Penyelidikan Shiseido Jepun, Kiyoshi Saito, berkata kandungan M dalam kajian itu bermaksud asid tranexamic dan multi-target vitamin C secara dramatik memperbaiki masalah bintik gelap dan membantu mengubah warna kulit menjadi lebih sekata.

Katanya, selain menemui mekanisme khusus yang bertanggungjawab untuk mengawal pembentukan melanin, kajian Shiseido berjaya membangunkan bahan dan menemui teknologi baru bagi memperbaiki masalah kulit.

Malah, katanya, bahan yang dihasilkan menerusi teknologi 4MSK juga berkuasa memfokus terus kepada masalah bintik hitam.

“Melanin terbentuk dalam sel melanosit dalam kulit. Aktiviti melanosit meningkat akibat rangsangan sinar UV dan turut berlaku ketika mengalami ketidakseimbangan hormon. Secara tidak langsung, ia menggalakkan pengeluaran melanin sekali gus terbentuk bintik hitam.

“Pada kulit normal, melanin yang dihasilkan secara sementara dalam jumlah berlebihan kerana terdedah kepada sinar UV dan surut dari semasa ke semasa. Melanin berlebihan yang didorong ke permukaan kulit dihapuskan sebagai sebahagian daripada proses penggantian sel semula jadi, malah nada kulit kembali sekata,” katanya pada majlis pelancaran rangkaian produk White Lucent di ibu kota, baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Besar Shiseido Malaysia, Masayuki Kohchi; Pengarah Urusan Shiseido Malaysia, Ong Chean Chang dan duta produk di Malaysia, Shafinaz Selamat.

White Lucent bertindak sebagai sistem penghantaran eksklusif secara efektif dengan membantu mengeluarkan bahan peluntur ke sasaran bintik gelap bagi mengelakkan pembentukan melanin. Produk berkenaan dikatakan membantu menjadikan wajah semakin cerah dengan warna lebih sekata. Bagaimanapun, pada masa sama, kulit yang sedia ada cerah pula membantu membentuk tekstur kulit lebih baik dan memberi kelembapan.

Kiyoshi berkata, teknologi 4MSK mengenalpasti masalah bintik gelap yang dialami dan dapat membantu menghalang pengeluaran melanin. Rangkaian produk pencerahan Shiseido, White Lucent menampilkan formula berkesan iaitu masing-masing memfokus kepada tiga tahap proses pembentukan melanin dengan tiga bahan pencerahan khusus.

“Tiga langkah yang dikatakan ditemui dalam teknologi berkenaan, pertama m-Tranexamic asid yang berfungsi bagi menghalang pembentukan melanosit aktif bagi mencegah pembentukan melanin. Kajian Shiseido mendapati bahawa m-tranexamic asid sebagai isyarat menghalang melanosit daripada menjadi aktif sebelum pembentukan bintik gelap muncul pada kulit.

“Pada 2002, penggunaan asid m-tranexamic diluluskan Kementerian Kesihatan, Tenaga Kerja dan Kesejahteraan Jepun untuk digunakan dalam mencari formula kosmetik pemutihan,” katanya.

Langkah kedua pula ialah Shiseido mendapati bahan 4MSK membantu mengurangkan aktiviti enzim tirosinase iaitu mencegah pembentukan melanin dalam melanosit. Bagi mengurangkan pembentukan melanin yang berlebihan, penting untuk menghalang aktiviti enzim berkenaan.

Langkah ketiga yang ditemui ialah ialah multi-target (pelbagai sasaran) vitamin C. Ia berfungsi sebagai mengurangkan pengeluaran melanin daripada pre-melanin DHICA. Vitamin C sememang terkenal dengan keberkesanannya sebagai pemutihan, tetapi jika tidak dikawal ia boleh merosakkan kulit dengan cepat. Bagi menghalang kesan berkenaan, Shiseido membangunkan multi-target vitamin C yang mana kedua-duanya memberi kesan dengan cepat.

Antara kandungan yang digunakan dalam rangkaian terbaru itu ialah pati daun Yomogi.

Kiyoshi berkata, pati daun Yomogi dikenal pasti dapat membantu menurunkan peningkatan pembahagian sel kulit di samping meningkatkan kelancaran ‘mengusir’ melanin daripada kulit kerana pati berkenaan hanya bekerja pada bahagian bintik hitam dan tidak memberi sebarang kesan kepada sel normal.

INFO: Daun Yomogi

# Tanaman digunakan sebagai herba.
# Daun tradisional itu pada asalnya dikeringkan terlebih dulu sebelum direbus untuk diminum atau ditambah dalam air untuk mandi.
# Pati tumbuhan berkenaan digunakan di dalam produk White Lucent yang dikatakan dapat membantu mencerah dan bertindak sebagai perlindungan kulit wajah daripada sinar UV