Konsert pengenalan Mentor musim keempat diadakan di Auditorium Majlis Bandar Raya Shah Alam, serta disiarkan secara langsung oleh TV3.
Malam itu, Adi, Nani, Ila, Ayim, Thalia dan Shaq, masing-masing protege kepada Dayang Nurfaizah, Azmeer, Joe Flizzow, Mus May, Ziana Zain dan Mas Idayu, cuba membuktikan kepada peminat, mengapa diri mereka layak bergelar anak didik barisan artis terkemuka itu.
Nyata sekali, kesemua enam bakat baru itu mempunyai keupayaan tersendiri, walaupun dirasakan cukup tidak adil untuk membuat penilaian awal. Kemampuan sebenar mereka dirasakan belum lagi terserlah. Apatah lagi persembahan malam itu hanya dinilai penasihat vokal, Ajai, dan penasihat persembahan, Sazlan Mat Adnan, bagi menentukan peserta yang berada dalam kumpulan A dan B.
Andainya Adi memilih untuk menyanyikan lagu popular Wings, Sejati, dengan gubahan baru berbentuk R&B, Nani pula menyampaikan rangkaian lagu Awan Yang Terpilu/Lady Marmalade. Ayim muncul bertenaga menyanyikan lagu Bila Aku Sudah Tiada, manakala Ila mengalunkan lagu berhantu Rihanna, Unfaithful, dengan iringan piano dan biola.
Thalia turut mempamerkan kebolehannya menerusi lagu Akhirnya Kini Pasti, diikuti Shaq yang sepatutnya menyampaikan rangkaian lagu Kasihnya Laila/Melompat Lebih Tinggi/Jikalau Berkasih. Begitupun, persembahan Shaq dihentikan mentornya, Mas Idayu, tidak lama selepas peserta itu mula menyanyi.
Bukan gimik, kata Mas, sebaliknya Shaq ternyata belum mampu untuk mengeluarkan suara dengan sebaiknya apabila dia ditimpa kesakitan beberapa hari sebelum itu.
"Dia baru saja mendapat suntikan doktor, semalam (1 Mei). Sepatutnya dia kena berehat selama dua hari selepas menerima rawatan. Bagaimanapun dia teringin juga untuk cuba menyanyi malam ini. Jadi, kami memutuskan untuk melihat sejauh mana dia boleh melakukannya. Sayangnya, dia memang belum bersedia untuk berbuat demikian.
"Jadi, daripada dia memalukan diri sendiri dan memalukan mentornya, baiklah saya hentikan saja persembahan itu kerana nyata sekali Shaq belum pulih sepenuhnya. Beberapa hari lalu, suaranya langsung tiada. Saya tidak mahu dengan persembahan sedemikian, peminat akan membuat telahan yang bukan-bukan," kata Mas pada sidang akhbar selepas tamat konsert.
Shaq pula berkata, sudah tentulah dia agak kecewa apabila tidak berupaya menunjukkan keupayaan sebenarnya pada konsert pengenalan berkenaan. Namun dia akur dengan tindakan mentornya yang memberhentikan persembahan kerana sememangnya dia tidak mampu untuk mengeluarkan suara.
Rata-rata mentor yang terbabit dalam program realiti musim keempat itu berpuas hati dengan persembahan anak didik masing-masing, walaupun mereka mengaku, masih ada ruang yang boleh diperbaiki pada persembahan akan datang.
Mus umpamanya mengaku, Ayim sebenarnya mampu mencapai nada yang lebih tinggi. Begitupun, dia enggan memberikan tekanan kepada remaja berusia 19 tahun dari Klang itu, lebih-lebih lagi konsert pada malam itu hanyalah konsert pengenalan.
"Saya juga ingin membawanya ke beberapa arah dalam muzik, bukan sekadar bertumpu pada rock semata-mata," kata Mus yang berasakan betapa saingan sengit bakal diterima daripada kesemua protege lain, sekiranya masing-masing tampil lebih bersedia.
Joe turut berasakan tahap persediaan peserta boleh diperbaiki lagi untuk membolehkan mereka tampil lebih selesa di pentas.
"Seperti Ila, saya berpuas hati dengan tahap vokalnya yang memiliki nada R&B dan soul. Cuma, dia agak gementar tadi, berkemungkinan besar akibat kekurangan pengalaman beraksi di pentas," ujarnya.
Ziana Zain pula beberapa kali menegaskan, faktor tumpuan sepenuhnya kepada nyanyian dan persembahan, begitu juga sewaktu latihan, perlu ada pada peserta. Katanya, dengan adanya fokus ketika melakukan persembahan, peminat akan lebih yakin dengan bakat mereka.
Kenyataan Ziana disokong Dayang Nurfaizah yang mendakwa, anak didiknya turut kelihatan gementar pada kemunculan sulungnya di pentas Mentor. Begitupun dia berkeyakinan Adi mampu memberikan persembahan lebih baik pada konsert seterusnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai suara protegenya, Nani, yang dikatakan mirip penyanyi Azharina, Azmeer dengan pantas mendakwa nada suara anak didiknya lebih tinggi berbanding penyanyi Rawan itu.
"Julat suara Nani sebenarnya lebih kepada penyanyi Alicia Keys," kata pencipta berpengalaman itu yang turut memberikan penekanan terhadap soal penampilan, mengelakkan rasa gemuruh serta takutkan pentas kepada protegenya.
Pada malam itu, sebaik saja peserta tamat menyanyikan lagu tema, nama kumpulan masing-masing turut diumumkan. Kumpulan A menyaksikan saingan antara Ila, Nani dan Shaq, manakala kumpulan B pula terdiri daripada Thalia, Adi dan Ayim. Peserta kumpulan A akan bersaing buat kali pertama pada konsert mingguan yang akan dilangsungkan pada 9 Mei.