Teknik Serdev

Bagi peminat perubatan estetik sudah tentu ramai di antara kita yang gemar melakukan penyelidikan tentang teknik-teknik terkini dalam bidang yang menjadi semakin penting dewasa ini. Perubatan estetika adalah satu cabang rawatan bagi orang yang sihat. Ia semata-mata diadakan bagi memenuhi keperluan masa kini yang inginkan kecantikan seiring dengan kesihatan.

Bukan semua di antara kita mampu mengekalkan kecantikan dan keanjalan kulit pada usia melepasi 40-an. Apabila usia meningkat timbullah kedut pada sekeliling mata, dahi dan sebagainya. Kesan kedutan sudah tentulah perubahan wajah dan perubahan ekspresi muka.

Kedutan memberi ekspresi muka yang letih, sedih dan tidak riang. Kaedah estetika membantu menghilangkan kedutan dan meningkatkan keanjalan kulit agar tampak lebih segar dan ceria. Kita tidak mahu mengubah muka menjadi orang lain. Yang kita mahukan adalah memelihara wajah kita agar sentiasa manis dan menarik. Di sinilah letaknya peranan perubatan estetika.

Secara saintifik muka kita disokong oleh otot-otot. Otot yang bergerak digunakan bagi pergerakan seperti sewaktu makan, meniup belon juga sewaktu senyum. Otot yang tidak bergerak terdapat pada muka berfungsi memegang muka. Apabila dimamah usia otot-otot menjadi kendur dan lembik membuatkan muka nampak berkerut dan jatuh. Jika otot ini dapat ditegangkan maka hasilnya muka akan tampak tegang semula. Sementelah apabila usia menganjak ke 40-an semua otot mula longgar dan ke bawah.

Teknik Serdev


Bolehkah otot-otot ditegangkan semula? Jawapannya boleh. Pernahkah anda mendengar Teknik Serdev? Teknik Serdev dicipta oleh Dr. Nicholay Serdev dari Bulgaria. Dengan menggunakan teknik ini muka dapat diangkat semula tanpa sebarang jahitan dan torehan. Ia menggunakan benang khas yang diletakkan di bawah kulit kepala dan benang ini menarik otot yang memegang muka ke atas semula. Teknik Serdev dapat dilakukan dengan mudah tanpa sebarang komplikasi kerana ia tidak memerlukan bius keseluruhan (general anesthesia). Sebaliknya hanya memerlukan bius yang sangat minimum pada kulit kepala sahaja.

Setelah dibius doktor akan memasukkan benang dan menegangkan muka. Tidak ada rasa sakit dan keputusannya dapat disaksikan sejurus selepas proses Serdev selesai. Benang yang dimasukkan diperbuat daripada protein dan dicampur dengan antibiotik.

Setelah rawatan dibuat, wajah tampak muda kerana segala kekenduran sudah di tarik ke atas semula. Kehebatan rawatan ini adalah tidak memerlukan mereka yang menjalaninya bercuti panjang dan tidak pula perlu dimasukkan ke hospital. Anda Cuma perlu datang ke klinik dan dalam satu jam rawatan telah pun selesai. Anda akan mendapat wajah yang baru tanpa kendur. Begitu mudah bukan?

Oleh kerana ia begitu sesuai bagi kita yang aktif bekerja ia turut dikenali sebagai non incisional face lift atau non scar method. Rawatan boleh digunakan untuk mengangkat kening yang jatuh, dan kelopak mata yang kendur membuat mata lebih luas terbuka.

Semasa menjalani kursus Teknik Serdev yang diajarkan sendiri oleh pengasasnya di Bulgaria saya berpeluang melihat sendiri bagaimana teknik ini diaplikasi dengan meluas di Barat dan di benua Eropah. Orang Eropah sangat sukakan Teknik Serdev. Mereka menggunakannya dengan meluas bagi menegangkan muka mencantikkan punggung (agar tidak jatuh), buah dada, mengecilkan hidung yang kembang dan pelbagai lagi. Oleh kerana benang yang digunakan terdapat pelbagai saiz maka ia sesuai bagi mengangkat kening dan mencantikkan hidung juga. Semasa belajar di University of Bulgaria dalam bidang ini saya juga melihat pelbagai prosedur kecantikan lain yang sangat mengkagumkan dibuat di sana. Mereka menanam rambut palsu yang kelihatan hidup dan boleh diwarnakan dan dikerinting sesuka hati. Ini adalah solusi yang baik bagi pengidap alopecia yang serius terutamanya wanita. Di sana saya menyaksikan selebriti dunia yang terkenal menjalani rawatan. Bagi saya pengalaman itu tidak mungkin akan dilupakan selagi hayat dikandung badan.

Di negara kita bidang estetika masih lagi menjadi bidang yang baru dan masih banyak ruang yang perlu diterokai bagi kita untuk mencapai kemajuan yang begitu. Namun begitu doktor kita giat berusaha meningkatkan kepakaran masing-masing dengan mengikuti kursus di luar negara bagi mempelajari kepakaran yang tinggi dalam bidang ini.

Oleh Dr. Rushmini Maris Ismail
Untuk pertanyaan lanjut hubungi Marissa Esthetik, No. 9, Jalan 4, Semenyih Sentral, Semenyih, Selangor. Telefon 03-87234808.