Louis Vuitton (LV) hadiah Hari Bapa

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menyampaikan tanda penghargaan seorang anak kepada bapa tercinta. Sempena Hari Bapa yang akan disambut pada Jun ini apa kata menghadiahkan bapa barangan eksklusif daripada jenama tersohor, Louis Vuitton (LV).

Jangan sangka tidak terdapat banyak pilihan kerana jenama tersebut mempunyai pelbagai rangkaian barangan yang amat ideal untuk dihadiahkan kepada mereka yang bergelar bapa.

Anda boleh pilih sama ada beg kulit, jam tangan, kasut, aksesori seperti kafling, barang kemas atau boleh jadi juga cermin mata hitam eksklusif dari LV.

Dari rangkaian beg kulit, terdapat lima jenis pilihan beg boleh dibuat. Beg kulit ini bukan sahaja cantik pada luaran malah mempunyai fungsi yang amat praktikal untuk bapa yang perlu mengisi dokumen penting dalam beg bimbitnya.

Jam tangan juga satu pilihan yang baik kerana fungsinya yang amat penting dalam menentukan masa. Tambah menarik, jam tangan LV ini sesuai dipakai sama ada majlis formal ataupun bersantai.

Ia juga dilengkapi dengan fungsi GMT yang tidak akan mengecewakan bapa anda terutama ketika dia mempunyai tugasan di luar negara.

Jika bapa gemar bergaya, apa kata hadiahkan dia kasut baru, pilih sama ada kasut ke pejabat atau kasut kulit yang boleh dipakai dalam majlis tidak rasmi.

Cermin mata hitam pula memang ideal, tapi biarlah yang sesuai dengan bentuk wajah bapa anda. Anda boleh membawa bapa ke butik LV supaya dia boleh mencuba sendiri cermin mata hitam manakah pilihannya.

Terdapat banyak pilihan reka bentuk kafling yang moden dan menarik. Ini pastinya sesuai untuk bapa yang bekerja di pejabat, pasti bangga apabila menggayakannya.

Tidak salah juga menghadiahkan bapa anda cincin dari jenama LV, monogram di atasnya membuatkan ia tampak eksklusif.


Oleh Noor Fazrina Kamal