Produk Gaharu Beauty

Bermacam petua digunakan oleh masyarakat zaman dulu untuk merawat wajah dan memastikan kulit lambat dimamah penuaan antaranya membasuh muka dengan embun, melumur kulit wajah dengan kulit pisang atau membilas dengan ais.

Hakikatnya semua petua itu dilakukan demi mengekalkan kecantikan semula jadi dengan menggunakan bahan semula jadi juga kerana khasiat bahan dari alam ini diketahui tidak mengandungi bahan kimia serta baik untuk kulit manusia.

Pohon gaharu (genus Aquilaria) misalnya, sudah diketahui menjadi antara ramuan utama an dalam pembuatan minyak wangi, namun ia juga sebenarnya turut bermanfaat dijadikan produk penjagaan wajah kerana beberapa khasiat tertentu.

Pengurus Gaharu Nano Tech Marketing, Norlela Mat Attan, berkata gaharu mempunyai bahan antioksidan yang memang diperlukan dalam penjagaan kecantikan kulit kerana antioksidan membawa banyak kebaikan untuk kulit manusia.

"Gaharu juga mempunyai antioksidan yang diketahui umum mengenai kebaikannya. Ia membantu mengatasi radikal bebas yang tidak stabil yang boleh merosakkan sel lain dalam kulit.

"Selain bersifat antioksida, ia mampu menghasilkan enzim organik yang kaya dengan kandungan antiseptik dan antibodi tersendiri apabila terdedah kepada ancaman bakteria serta haiwan parasit," katanya mengenai produk Gaharu Beauty ketika dihubungi, baru-baru ini.

Penggunaan pohon gaharu untuk kecantikan di kalangan penduduk di rantau kepulauan Melayu sudah lama digunakan termasuk daun, akar dan kulit digunakan untuk ubat anti malaria, merawat resdung serta menghilangkan bintik hitam di wajah.

Sehubungan itu, ia dijadikan bahan utama dalam produk penjagaan kulit gaharu selepas kajian mendapati ada banyak kebaikan pada gaharu. Jika sebelum ini ia diproses dijadikan minyak wangi, tapi kajian membawa gaharu maju setapak lagi iaitu sebagai ramuan utama dalam produk penjagaan wajah.

Norlela berkata, ekstrak daun gaharu juga boleh membantu merawat masalah jerawat, jeragat, menganjalkan dan mencerahkan kulit serta menjaga kelembapan kulit selain menaikkan seri wajah serta keyakinan diri melalui aroma semula jadinya.

"Ujian yang dijalankan terhadap 50 wanita secara sukarela menunjukkan produk daripada gaharu tidak meninggalkan sebarang kesan tidak baik. Kulit tidak menggelupas dan seri terpancar pada wajah.

"Ini kerana ia merawat kulit daripada dalam bawah lapisan, tiada bahan kimia dan seratus peratus daripada bahan herba semula jadi. Paling utama ia disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.

Ditawarkan dalam set penjagaan wajah dengan lima barangan, keistimewaan lain produk ini ialah ia sesuai juga digunakan oleh semua peringkat usia sama ada lelaki mahupun wanita.

"Produk ini bukan produk solekan atau tatarias, tapi ia adalah produk asas untuk menjaga kebersihan kulit jadi ia boleh digunakan oleh semua individu.

"Pembersih susu, pembersih muka, penyegar, pelembap dan krim tabir suria adalah bahan jagaan asas yang ditawarkan untuk menjaga kebersihan kulit wajah. Ia boleh didapati dari stokis kami seluruh negara atau menerusi laman web www.gaharubeauty.blogspot.com," katanya.