Universiti AIMST pupuk kecemerlangan

Universiti AIMST, di Sungai Petani, Kedah bukan hanya menawarkan kursus pengajian perubatan, malah mempunyai kelebihan dalam bidang pengajian bio-teknologi, kejuruteraan perniagaan dan pengurusan.

Pendaftar AIMST dan Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Prof Dr Premkumar Rajagopal berkata, tanggungjawab utama AIMST menyalurkan tenaganya kepada anak muda yang bakal menjadi generasi pencipta inovasi dan penjana kekayaan negara kelak.

"Adalah menjadi tanggungjawab kami semua mendidik dan menggalakkan mereka mencapai kecemerlangan. Pembangunan global itu hakikat begitu juga nilai pendidikan tinggi yang semakin meningkat namun ia tidak menjadi penghalang AIMST mendidik belia negara" katanya.

Program Asasi dalam jurusan Sains dan Perniagaan yang ditawarkan kepada pelajar mempersiapkan mereka ke tahap lebih tinggi selain membuka berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran.

Biasiswa ditawarkan kepada pelajar yang layak mengikuti kursus pengajian Perniagaan dan Sains menjurus kepada program kejuruteraan.

AIMST yang terkenal dengan program perubatan menawarkan infrastruktur terbaik bagi kemudahan pelajar program diploma khususnya dalam jurusan kejururawatan, fisioterapi dan kejuruteraan elektrik dan elektronik.

Bagi kursus membabitkan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, pelajar berpeluang mengikutinya dalam tiga program iaitu Ijazah Sarjana Muda bidang Perniagaan dan Pemasaran, Kewangan dan Pengurusan dan Sistem Maklumat Pengurusan.

Pelajar cemerlang dalam program ini berpeluang menyertai Program Mobiliti Pelajar selama empat bulan di Bordeaux Business School di Perancis.

Institusi ini juga menawarkan program Sarjana Muda Sains (Kepujian) tiga tahun dalam bidang Bioteknologi, Sarjana Sains dalam bidang Bioteknologi dan Doktor Falsafah (PhD) yang menggunakan biologi gunaan membabitkan organisma hidup dan bio proses dalam kejuruteraan, teknologi, ubat-ubatan dan bidang lain yang memerlukan bio produk.

Pelajar lepasan ijazah yang layak dibantu memohon program biasiswa MyMaster dan pinjaman pengajian yang boleh dimhon sama ada daripada agensi swasta dan kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pilihan kursus yang ditawarkan, sila layari laman web di www.aimst.edu.my atau hubungi Bahagian Pemasaran AIMST di talian 04-2913138.