Baju-T Graffi Tee

Bagi yang mementingkan jenama, Graffi Tee bukanlah satu jenama yang asing atau baru kerana ia sentiasa terkenal dengan variasi kemeja-T, beg, sapu tangan, skaf, kasut dan sebagainya.
Baju T Graffi Tee

Graffi Tee merupakan sebuah kedai yang berkonsep dan mengkhusus kepada baju-T.

Kualiti yang dihasilkan juga tidak perlu diragui kerana baju-T yang dihasilkan menggunakan material 100 peratus kain kapas terbaik.

Jika dilihat daripada ejaannya iaitu Graffi Tee, ia sebenarnya mempunyai sebutan yang sama dengan grafitti yang bermaksud lakaran-lakaran yang biasanya ada di dinding-dinding.

Namun apabila diasingkan perkataan tersebut, ia boleh menjadi grafik, baju-T, atau graffiti.

Jadi tidak hairanlah kesemua baju-T yang dijual di sini mesti mempunyai grafik serta kelainan yang ditampilkan ialah grafik atau frasa yang terpampang padanya.

Jika sebelum ini peminat-peminat jenama tersebut hanya boleh memperoleh produk tersebut di Suria KLCC, The Gardens dan Pavilion, kini ia juga boleh didapati di One Utama.

Terletak di tingkat bawah, premis tersebut yang dibuka sejak 23 Disember lalu ternyata memiliki tarikan tersendiri.

Selain itu, motif yang dipaparkan pada baju-T ini boleh terdiri daripada apa sahaja, sama ada isu global atau sesuatu yang melucukan.

Penghasilan idea-idea kreatif itu diketuai oleh Tino Soon yang mengakui dia sentiasa kagum dengan mesej-mesej bijak, sekali gus berpendapat ia adalah peluang terbaik buat Graffi Tee memberi ruang kepada individu untuk mengekspresi diri atau menyokong sesuatu yang hampir dengan jiwa mereka.

Idea-idea yang diterjemahkan dalam bentuk grafik dan frasa itu juga terhasil mengikut konsep-konsep tertentu.

Tidak terhad kepada isu-isu tempatan sahaja, pasukan kreatif Graffi Tee juga tidak ketinggalan menyentuh sebanyak mungkin tema kehidupan.

Lazimnya koleksi-koleksi Graffi Tee memiliki mesej dalam cetakan pelbagai variasi warna menarik seperti biru muda, kelabu, coklat, putih dan merah jambu.

Kesemua baju-T di Graffi Tee boleh didapati dalam saiz SS, S, M, L, XL dan K serta harganya bermula daripada RM55.90 sehelai, bergantung kepada warna cetakannya.

Oleh mariatul qatiah zakaria