Butik MaMa jual jubah lycra, lembut dan selesa
2 tahun lalu Nor Ainna Ibrahim, 29, menjalankan perniagaan beg tangan, aksesori dan pakaian menerusi Internet. Rezeki yang diberikan kepadanya membuatkan perniagaan tersebut berkembang dengan pesat dalam masa yang singkat.
Banyak permintaan daripada stokis dan pemborong untuk membeli barang jualannya menyebabkan Nor Ainna yang selesa disapa Ainna membuka kedainya sendiri yang diberi nama Butik MaMa bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.
"Kedai ini sebenarnya untuk menempatkan stok pakaian untuk jualan secara borong. Bagaimanapun jika ada pelanggan yang datang ke kedai, kami tetap akan menjual," ujarnya ketika ditemui di premisnya baru-baru ini.
Menurut ibu kepada dua anak ini, idea untuk meneruskan perniagaan dalam bidang fesyen muslimah tercetus selepas beliau melahirkan anak keduanya dan mengambil keputusan untuk bertudung.
"Saya mencari tudung yang praktikal untuk dipakai oleh ibu yang mempunyai bayi kecil, lalu terhasillah tudung yang saya letakkan jenamanya sebagai Ainna's Scarves.. Selain itu, butik MaMa juga tampil dengan jubah istimewa dengan label Bussaina Apparels untuk melengkapi penampilan mengikut syariat seorang muslimah," jelasnya.
Menurut Nor Ainna, cetusan asal pembukaan Butik MaMa adalah untuk tampil sebagai pusat sehenti yang menawarkan pilihan persalinan lengkap kepada wanita Islam kerana kebanyakan wanita moden kini lebih terarah untuk menggayakan busana menutup aurat.
Istimewanya busana muslimah dari Butik MaMa ialah majoriti material yang digunakan adalah daripada kain lycra. Ia agak lembut dan selesa dipakai tidak kira siang mahupun malam. Selain itu, lycra tidak mudah berkedut dan paling penting apabila dibuat blaus atau jubah, ia jatuh cantik!
Butik MaMa juga secara rasmi melantik bekas penyanyi yang popular dengan lagu Bagaikan Puteri, Farra, sebagai model untuk tudung dan jubah.
"Harapan saya agar dapat membudayakan pemakaian jubah di kalangan wanita tempatan kerana jubah adalah pakaian 'smart kasual' yang sesuai digayakan di dalam apa juga majlis dan keadaan," ujarnya.
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Nak Buat Duit Dengan Hanya Klik? Jom Klik Sini!