Busana Fesyen Muslimah Rizalman Ibrahim

Berpakaian menutup aurat sering disalah ertikan seperti bertudung litup dari hujung rambut hingga hujung kaki. Hanya yang kelihatan ialah sepasang mata di sebalik purdah atau hijab yang dikenakan individu berkenaan.
Fesyen Muslimah

Kenyataannya, senario berkenaan banyak kelihatan di negara Arab, tetapi ia tidak mungkin dilihat di negara ini kerana cuaca panas, persekitaran dan budaya adalah berbeza menyebabkan paten pemakaian juga tidak sama.

Pereka yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Rizalman Ibrahim, berkata wanita Arab menutup aurat dengan memakai busana yang dinamakan jubah kerana iklim dan rupa bentuk geografi negara mereka sangat berbeza dengan negara ini.

"Negara Arab seperti Mesir adalah panas cuacanya. Tambahan pula rupa bentuk muka bumi mereka dilitupi pasir menyebabkan mereka terpaksa menutup sebahagian besar wajah untuk mengelak daripada debu hinggap pada muka.

"Menutup aurat adalah sebahagian daripada tuntutan agama, tetapi dari aspek logik, mereka memakai jubah hitam kerana apabila berpeluh, ia secara semula jadi akan menyejukkan badan dalam cuaca panas," katanya ketika ditemui di Butik Puteh, di Damansara Perdana baru-baru.

Puteh adalah wadah terbaru Rizalman dalam usaha mengetengahkan persalinan sopan, anggun, unik serta pada masa sama memenuhi ciri Islam dalam tuntutan berpakaian, iaitu menutup aurat, terpelihara daripada mata yang tidak sepatutnya melihat aurat wanita.

Bagaimanapun, pereka tersohor itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan sesetengah pihak yang melabelkan 'busana muslimah' adalah persalinan menutup aurat yang hanya tertakluk kepada potongan tertentu saja kerana persalinan itu sendiri adalah satu daripada evolusi dalam fesyen.

"Menyentuh mengenai persalinan yang menutup aurat, saya tidak bersetuju jika ada yang melabelkan pakaian berkenaan seharusnya berpotongan begini dan begitu. Hakikatnya, fesyen menutup aurat adalah luas ruang lingkupnya.

"Kita tidak semestinya terikat dengan fesyen negara Arab semata-mata untuk menutup aurat dan 24 jam berbalut dengan pakaian berkenaan. Kalau berada bersama ahli keluarga, suami atau abang yang sudah tentu muhrim, wanita dibenarkan membuka hijab mereka," katanya.

Bagi Rizalman, busana Muslimah ialah persalinan yang boleh dipakai untuk wanita yang bukan saja menutup aurat, tetapi juga sesuai untuk mereka yang tidak bertudung dan paling penting ialah sopan dan tidak salah untuk tampil bergaya.

"Melalui Puteh ini, saya dan rakan kongsi yang bertanggungjawab mencetus ilham terhadap kewujudan Puteh, Fazwinna Tan Sri Mustapha Kamal, mengambil kata putus menterjemahkan busana Muslimah sebagai persalinan ala Islam dan bukannya ala fesyen Islam.

"Sehubungan itu, Puteh juga menawarkan jubah, telekung, tudung serta pakaian lain yang bersesuaian dengan kehendak pengguna Islam. Kebanyakan busana yang ada di Puteh adalah diilhamkan daripada kaftan memandangkan ia selesa dan boleh digayakan pada sebarang acara," katanya.

Beliau berkata, kaftan dijadikan ilham asas kepada kebanyakan busana di Puteh memandangkan kaftan boleh dimanfaatkan sebaik mungkin untuk sebarang acara bersifat keagamaan mahupun acara santai. Potongan kaftan yang agak santai juga tidak menampakkan bentuk badan yang keterlaluan sekiranya si pemakai bersaiz besar atau mereka ingin menutup bahagian tertentu pada badan.

"Busana di Puteh tersedia dalam helaian polos. Fabrik yang digunakan pula ialah sifon dan sutera crepe kerana kedua-duanya adalah fabrik lembut yang selesa dipakai. Begitupun, busana di Puteh tidak mengenepikan perhiasan lain seperti manik dan batu permata.

"Untuk mengimbangi rona polos itu, ada busana yang disulam batu perhiasan di bahagian tengah. Bahkan bagi anda yang gemar kepada perhiasan bersaiz besar, mereka boleh dikalungkan di leher. Selain menghiasi leher, bahagian hadapan busana juga akan kelihatan berhias cantik," katanya.

Hakikatnya, jika bijak mengadun gaya, busana polos juga akan nampak berseni dan indah dengan gandingan perhiasan leher atau hijab senada yang digayakan di kepala. Bahkan, lebihan selendang sekiranya berjurai panjang, boleh dililit pada leher dan ia akan tetap membuatkan anda tampak anggun andai kena cara pemakaiannya.

Lokasi Butik Puteh Rizalman Ibrahim

Butik Puteh
Lokasi: A G 01 block A Neo Damansara
No 1 Jalan PJU 8/1 Bandar Damansara Perdana.