Asal restoran ini dari Perbaungan, kira-kira 40 kilometer dari Medan, Indonesia. Namanya diilham daripada nama lama tempat itu, Kota Simpang Tiga.
Pak Salim, seorang usahawan gigih, mengambil keputusan membuka restoran berkenaan selepas ternakan ikan patinnya tidak berjaya dijual. Siapa sangka, akhirnya restoran ini menjadi antara yang paling popular di sana.
Atas sambutan yang diterima, tiga cawangan dibuka di Medan dan satu lagi di Jakarta.
Dan kini, atas cadangan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim yang terpikat dengan hidangannya ketika berkunjung ke sana atas urusan kerja, Restoran Simpang Tiga dibuka di bandar raya ini sejak Ogos lalu.
Diusahakan oleh beberapa usahawan muda tempatan, restoran ini boleh menempatkan hingga 600 pengunjung dalam satu masa dan pastinya pembukaannya sangat dinanti terutama kepada peminat hidangan nasi Padang.
Menurut pengurusnya, Mohd Effendy, Restoran Simpang Tiga menyediakan hidangan nasi Padang moden iaitu dengan menu tambahan ala masakan Cina seperti sotong goreng tepung, ikan masak tiga rasa dan beberapa hidangan laut yang lain.
Menu signatur nasi Padang seperti masak lemak pucuk ubi tumbuk (daunnya ditumbuk halus), gulai kepala ikan merah, gulai tunjang, dendeng, pepes ikan kembong, ikan talapia goreng (jika di Indonesia digunakan ikan gurame) dan banyak lagi semestinya tidak menghampakan.
Jangan dilupa, sambal ijo yang menjadi kegemaran untuk dicecah bersama ulam pucuk ubi atau enak juga dimakan bersama ayam kampung bumbu atau ikan goreng.
Bagi orang luar dari Ipoh, terutama dari Kuala Lumpur, pasti berpuas hati menjamu selera di sini kerana selain makanan enak, ‘poket juga tidak rabak.’
Pilihan minuman pula pelbagai dan yang paling istimewa adalah jus pelangi, jus tropika, jus durian belanda serta jus alpokat (avokado).
Dengan menu yang terdapat di sini, memang agak rambang mata juga tatkala ingin memilihnya. Apa lagi saat berada di kaunter makanan.
Akhir kata, bagi mereka yang mengunjungi Ipoh, jangan lupa singgah ke sini kerana pasti anda tidak kecewa dengan hidangan dan layanannya.