BMW Group Malaysia memperkenalkan tiga model istimewa Mini yang bakal merancak dunia automobil berikutan tambahan beberapa ciri terkini dan reka bentuk comel.
Dengan rekaan karakteristik dan ciri tambahan, ia dijangka meningkatkan jualan Mini di pasaran tempatan.
Pengarah Urusan BMW Malaysia, Geoffrey Briscoe, berkata model khas ini meneruskan identiti Mini yang sentiasa memiliki peminatnya yang tersendiri.
"Tidak seperti model Mini generasi kedua, model khas ini didatangkan dengan kawalan pemanduan lebih jitu dan sistem suspensi stabil serta selesa.
"Malah, ketiga-tiga model ini lebih menjimatkan bahan api dan pengeluaran asap lebih baik," katanya.
Mini 50 Mayfair dijana enjin sama seperti model Cooper S yang menjana 175 hp termasuk sistem Twin-Scroll Turbocharger manakala versi Mini 50 Camden turut menawarkan prestasi pemanduan terbaik di jalan raya.
Kedua-dua model ini mencatatkan purata penggunaan petrol sekitar 7.8 liter per 100 km manakala tahap gas CO2 sekitar 149 gram per kilometer.
Mini Earl Grey dijana enjin yang dilengkapi kawalan injap pelbagai yang menawarkan kuasa sehingga 120 hp dengan tahap penggunaan petrol sekitar 6.7 liter per 100km.
"Mini 50 Mayfair direka dengan sentuhan tulen yang diilhamkan dari wilayah Mayfair di London.
"Model Mini 50 Mayfair menggunakan rim 17 inci popular di wilayah berkenaan dikenali sebagai Infinite Stream Spoke Mayfair Wheels," katanya.
Harga Mini Earl Grey ialah RM199,888, Mini 50 Camden (RM245,888) manakala Mini 50 Mayfair, RM259,888 seunit.