Spa holistik berkonsep halal

SPA holistik Malaysia mula memberi saingan kepada perkhidmatan rawatan kecantikan berkonsepkan Indonesia, Thailand dan Barat yang memonopoli pasaran industri perkhidmatan spa tempatan.


Penerapan konsep ISP (Islamic Spa Practice) atau amalan spa Islam bukan sahaja dalam perkhidmatan ditawarkan malah perlaksanaan operasi perniagaan termasuk penggunaan ayat-ayat suci al-Quran turut dilihat memperkemaskan lagi imej negara sebagai pemangkin industri berkonsepkan halal.

Perkhidmatan rawatan spa, pengasingan ahli terapi kecantikan mengikut jantina, penggunaan bilik dan masa perkhidmatan yang berbeza untuk pelanggan lelaki dan wanita juga antara tarikan spa mengikut hukum syarak ini.

Pengasas Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa Sdn. Bhd. (Ainaa-Ailaa), Norulhana Abd. Razak berkata, spa berkenaan merupakan alternatif yang perlu untuk individu atau kaum ibu dan bapa yang ingin mendapatkan rawatan penjagaan kecantikan dijamin selamat, selesa dan halal.

Pada tahun 2001, beliau mengasaskan spa Nu'della yang menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan tubuh badan dari hujung rambut ke hujung kaki, mengurut dan penjagaan kecantikan diri di bawah satu bumbung.

Hari ini, Ainaa-Ailaa merupakan pengeluar produk Nu'della merangkumi lebih 40 produk penjagaan kulit wajah, badan dan salun pek.

Ainaa-Ailaa menggunakan 100 peratus produk keluaran industri kecil sederhana (IKS) tempatan yang dihasilkan daripada bahan-bahan semula jadi tempatan seperti air mawar, garam bukit, serai serta daun pandan dan kayu manis sebagai pencetus aromaterapi semula jadi.

Tambahnya, pakej rawatan yang disediakan seperti Permaisuri untuk kaum ibu, Puteri (remaja), Harum Kasturi, Seri Ratu (bakal pengantin) dan Bidadari (semua wanita) juga tidak meminjam sebarang teknik mahupun kaedah dari negara jiran.

"Malah pakar yang menghasilkan formula produk kami (di Kulim) juga terdiri daripada rakyat tempatan antaranya lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir," katanya yang juga Pengarah Urusan Ainaa-Ailaa.

Sebagai spa holistik Malaysia, setiap francais Nu'della dilengkap kemudahan, produk dan perkhidmatan yang hanya bercirikan tempatan termasuk dekorasi hiasan dalaman, kelengkapan spa selain produk dan tenaga kerja warganegara tempatan.

Promosi unik buluh orang asli, kelarai, bumbu, atap nipah dan rumbia, ukiran dan perabot kayu yang menghiasi setiap francais Nu'della dijangka membuka permintaan pasaran lebih besar terhadap produk IKS tempatan.

Ainaa-Ailaa yang membuka program francais Nu'della Malaysian Holistik Spa bermula Ogos tahun lalu berusaha gigih ke arah memartabatkan rawatan tradisional tempatan di peringkat global bermula di negara Timur Tengah.

"Kami bertuah kerana berjaya mendapat status francais tahun lalu yang dijadualkan berlaku tahun ini.

"Justeru tahun ini kami dapat meneruskan rancangan untuk memperkembangkan lagi potensi perniagaan di seluruh negara sebelum memasuki pasaran luar," ujar beliau.

Pada masa ini, terdapat 16 francais Nu'della di seluruh negara dan 12 francais baru akan dibuka dalam tahun ini di sekitar Damansara, Taman Tun Dr. Ismail dan Bangsar.

Di samping itu, Ainaa-Ailaa yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri spa turut membuka peluang perniagaan kepada orang ramai melalui program Pembangunan Peruncitan Bumiputera Mara.

Program perniagaan usahawan spa kecantikan terbahagi kepada beberapa pelan francais mampu milik di bawah jenama Nu'della Tradisional Spa yang fleksibel dan mudah dilaksanakan.

Selain francais, tiga konsep perniagaan ditawarkan kepada umum iaitu MyKiosk Home Plan, Starter Plan, Smart Plan, Business Plan dan Mobile Plan yang memerlukan modal antara RM5,000 dan RM50,000.

Diiktiraf sebagai Pusat Latihan Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan pemegang jenama Nu'della, Ainaa-Ailaa menawarkan kursus sijil kemahiran (MLVK) selain pinjaman pendidikan dan perniagaan bagi peserta yang layak.

Jangka masa kursus antara satu hingga lapan bulan mengikut tahap MLVK 1 hingga 3 termasuk modul urutan Nu'della, rawatan kuku tangan dan kaki, sauna/tangas, mandi bunga, rempah dan susu, lulur dan rawatan muka.

Akademi Nu'della juga memberi kursus menggaya rambut, andaman, solekan dan rawatan selepas bersalin selain asas pengurusan syarikat termasuk menguruskan akaun, dokumen syarikat dan pemasaran.

Program sistem latihan dual nasional (SLDN) turut ditawarkan dengan elaun RM300 sebulan.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa Sdn. Bhd di No.8 Jalan 4/11, Fasa 4 Tambahan, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Anda juga boleh hubungi 03-89255005.

Nak Buat Duit Dengan Hanya Klik? Jom Klik Sini!