Capaian Internet 3G di telefon

Capaian Internet 3G di telefon

DIGI Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) memperkukuhkan kedudukan dalam arena capaian Internet mudah alih apabila memperkenalkan Turbo 3G, perkhidmatan capaian Internet 3G yang boleh dicapai menggunakan telefon bimbit bagi kawasan Lembah Klang.

Beberapa minggu sebelum ini, ia diperkenalkan Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Johan Dennelind, berkata 59 peratus kawasan Lembah Klang kini diliputi oleh rangkaian 3G DiGi iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak 44 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kawasan liputan 3G DiGi kini meliputi 20 peratus di seluruh negara dan ia akan ditingkatkan sehingga 50 peratus menjelang akhir tahun depan. Dengan liputan signifikan di tiga kawasan utama ini, DiGi merancang untuk terus melebarkan sayap ke beberapa bandar utama lagi termasuk Ipoh, Johor Bahru dan Kuching mulai tahun depan," katanya.

"Sejajar dengan perluasan kawasan liputan itu, DiGi kini mampu menawarkan pelbagai kaedah mencapai Internet dan tidak terhad kepada pengguna notebook menerusi modem jalur lebar saja, malah ia kini mampu dicapai menggunakan telefon bimbit dan telefon pintar," katanya lagi.

Menurut Dennelind, DiGi yakin telah berjaya menempatkan diri pada kedudukan terbaik dalam segmen jalur lebar yang diterima baik oleh pelanggan.

"Dengan perkhidmatan baru yang boleh dicapai oleh pelbagai peranti lain ini, kami bertambah yakin bahawa DiGi berjaya membawa pengalaman Internet terbaik kepada mereka," katanya lagi.

Pada masa sama, DiGi memperkenalkan pelan DG BerrySmart untuk pelan pasca bayar Blackberry dengan yuran bulanan RM58 sebulan. Apabila digabungkan dengan pelan BlackBerry Unlimited, ia akan direbat 100 peratus selepas jumlah kegunaan suara, SMS dan MMS mencapai RM200 sebulan.

Antara perkhidmatan baru lain, ia termasuk Internet Unlimited Max 5 untuk pelanggan prabayar dengan capaian tanpa had menggunakan telefon bimbit pada kadar RM5 sehari.

Disediakan juga pelan Internet Unlimited Monthly 58 for DiGi Postpaid dan diberi belian berdiskaun sehingga 50 peratus untuk telefon HTC Dual atau percuma Nokia 2730.

DiGi Broadband Discover pada harga promosi RM48 sebulan dan BlackBerry Unlimited Plan dengan caj RM58 sebulan.

Oleh Husain Jahit