Tudung Fareeda anggun sopan




Menampilkan keindahan dalam bertudung mampu menyerlah keanggunan seseorang.

Bertudung bukan hanya kelihatan menarik, tetapi menyerlahkan lagi keterampilan sama ada untuk pakaian harian mahupun ke majlis.

Pemilik yang juga pereka tudung berjenama Fareeda, Faridah Zakaria, berkata pemilihan corak, warna, kemasan dan jenis fabrik amat dititikberatkan ketika mengolah tudung untuk pelanggan.

"Semua aspek memainkan peranan tersendiri kerana penggemar bukan hanya memilih jenis tudung diminati atau bersesuaian dengan dirinya.

"Sebenarnya, corak rekaan juga ada peranan kepada si pemakai. Berdasarkan kaji selidik, warna atau corak dipilih mampu menyerlahkan diri si pemakai untuk kelihatan lebih menarik dan anggun bahkan, tampil lebih muda," katanya.

Yakin jenamanya mampu melangkah lebih jauh, Faridah mengakui kebanyakan penggemar menyenangi fabrik yang digunakan terdiri daripada lycra, labuci bermanik, dope dyed, opal, organza, kasibo serta sutera Korea, Itali mahupun Perancis.

Tudungnya sering diperagakan pengacara dan pembaca berita di saluran televisyen TV9 serta TV3 selain menaja program Gadis Melayu dan Mari Mengaji.

Pernah memiliki salun terkenal di utara tanah air, dia yakin dengan ilhamnya untuk terus mencetuskan tudung berkualiti serta ada aura tersendiri.

Menurutnya, alternatif kepada wanita bertudung untuk tampil anggun bergaya, Fareeda mengetengahkan pelbagai nama yang menjadi sebutan kepada penggemar.

Raihanah misalnya, menampilkan corak bunga-bungaan, berpadanan bagi kurung atau kebaya polos.

Agak berbeza dengan Raihanah Eksklusif menggunakan sifon Itali yang terkenal dengan fabrik lembut dengan variasi rona ceria dan motif flora, tampil anggun untuk ke majlis eksklusif atau keraian.

Suraiya pula tampil bergaya dan lebih mempesona, Suraiya Eksklusif menggunakan fabrik berkualiti dwilapisan yang menutupi bahagian luar dan dalam dengan pelbagai rona daripada fabrik sifon Perancis dan sifon Itali.

Jenis tudung lain seperti Sofiya dengan sulaman penuh kemasan dan Maisarah untuk pelbagai peringkat usia bagi menyempurnakan gaya.

Setelah dua tahun beredar di pasaran, Fareeda kini mempunyai lebih 150 pengedar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kebanyakan tudung keluarannya hanya boleh diperoleh menerusi pengedar dan stokisnya di enam negeri yang turut berkolaborasi dengan Gulatis Silk House.

"Kebanyakan orang mengenali Fareeda kerana 'tulang' yang dibentuk pada setiap tudung, ia adalah cap dagang kami.

"Apapun, apabila diperagakan dengan pemilihan busana Muslimah bersesuaian seperti baju kurung, kebaya, jubah mahupun seluar, ia melengkapkan lagi gaya si pemakai.

"Apa yang penting, pengguna harus bijak menyesuai padan warna pakaian dengan tudung kerana kedua-duanya memberi pengaruh besar dalam penampilan seseorang," katanya.

Terima kasih:

# Pakaian dan tudung: Fareeda House of Scarf (www.fareedascarf.com), No 140 Jalan 8/5, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor
# Tel/faks: 03-89262809/019-5759809
# Mekap: Iss (Tel: 017-2475093)
# Model: Mawar Karim