Berapa ramai yang mahu menghabiskan masa lama di gimnasium semata-mata untuk membuang segala lemak yang berkumpul di segenap penjuru badan?
Tapi yang pasti, ramai antara kita lebih sanggup berbelanja besar ke pusat kecantikan untuk menyertai pelbagai program perampingan badan dalam masa singkat yang sesetengahnya memudaratkan kesihatan.
Atas kesedaran itu, BodyTone Wellness Studio yang melancarkan pusat keduanya di Bangsar Village II, Kuala Lumpur, baru-baru ini, memperkenalkan teknologi pengurusan berat badan terkini yang lebih berteraskan senaman untuk kecergasan dan pemulihan dalaman.
Menurut Pengurus Operasi BodyTone Wellness Studio di Bangsar Village II, Ooi Ann Ann, mesin getaran Power Plate digunakan dalam setiap program senaman bagi membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan serta meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan secara keseluruhan.
"Ia antara program pengurusan berat badan yang terbaik dan seumpamanya di Asia kerana tidak membabitkan sedutan lemak dan pembedahan kosmetik.
"Selama ini minda kita sering diprogramkan kita memerlukan bantuan orang lain untuk menurunkan berat badan sedangkan diri sendiri rela mengabaikan penjagaan diri.
"Apabila berada dalam keadaan itu, mulalah kita mencari bantuan walaupun sedar prosedur yang dilakukan itu berbahaya hingga ada sesetengahnya mengancam nyawa.
"Jadi, kami berusaha mengubah pemikiran seperti itu dengan menggalakkan masyarakat hidup sihat menerusi senaman berterusan. Penggunaan mesin getaran Power Plate di BodyTone pula bertindak memaksimumkan senaman yang dijalani," katanya.
Menurutnya, teknologi Power Plate yang dibawa dari Amerika Syarikat itu mampu menggerakkan seluruh otot menerusi getaran.
"Ia menggerakkan 98 peratus refleks otot yang kebanyakkan 'tidur' kerana selama ini tidak digunakan. Jadi, hasil yang diperoleh juga lebih cepat berbanding senaman konvensional yang hanya menggunakan 40 peratus otot kita.
"BodyTone tidak menggalakkan pengguna taksub untuk menurunkan berat badan. Kami mahu setiap manusia terutama wanita meraikan bentuk tubuh semula jadi mereka tapi dengan berat badan yang ideal," katanya.
Kebiasaannya, seseorang perlu menjalani sekurang-kurangnya lapan sesi senaman atau dua minggu bersama Power Plate untuk melihat hasilnya.
"Ia juga bergantung kepada kumpulan umur dan kekerapan senaman yang dijalani seseorang.
"Jika anda kerap bersenam, anda boleh lihat hasilnya dalam masa dua minggu. Jika anda langsung tidak pernah bersenam, keutamaan kami ialah mengembalikan semula postur tubuh anda sebelum latihan lebih agresif dijalankan.
"Secara purata, BodyTone berjaya membantu lebih 100 pelanggan di Pulau Pinang ketika ia mula diperkenalkan.
"Bagi pelanggan berusia 12 hingga bawah 30 tahun, mereka memerlukan 12 sesi untuk mengekalkan berat badan yang konsisten, sementara sekurang-kurangnya 24 sesi bagi 30 tahun ke atas.
"BodyTone juga membantu kanak-kanak obes kerana senaman bersama Power Plate tidak memudaratkan, malah lebih menyeronokkan. Apa yang menarik ialah yuran kami fleksibel dan ia bergantung kepada bajet pelanggan. Kami juga mempunyai barisan pelatih kecergasan bertauliah antarabangsa yang sedia membantu menangani masalah pelanggan," katanya.
Teknologi Power Plate asalnya dipelopori atlit Olimpik dan angkasawan Russia. Ia bertindak menerusi getaran keseluruhan tubuh secara semula jadi bagi mengaktifkan kontraksi refleks otot.
Senaman yang dijalankan di atas Power Plate juga tiada impak tinggi, sesuai untuk semua keadaan tubuh dan setiap senaman berlangsung selama 30 saat hingga seminit.
Lebih 50 senaman boleh dilakukan di atas mesin getaran itu termasuk regangan dan urutan.