INSPIRO - Ketuhar pintar mudah diguna
INSPIRO, muncul ketuhar pertama menentukan cara memasak yang betul bagi sesuatu hidangan secara automatik.
Menurut Pengarah Reka Bentuk, Asia Pacific Electrolux, Pernilla Johansson, Inspiro membuat pengiraan tepat berdasarkan data sebenar berlaku dalam ketuhar selain membuat penyelarasan sewajarnya secara berterusan.
“Kejayaan ketuhar ini dilihat pada cara mengawal pengawasan, menentukan suhu akhir yang betul dan kebolehannya memilih cara memasak, membakar, menyalai atau menggabung cara yang perlu digunakan dalam sesuatu hidangan.
“Ia juga memberi spesifikasi rak mana yang perlu diletakkan menggunakan pangkalan data profesional,” katanya ketika majlis pelancaran ketuhar berkenaan di Solaris Dutamas, Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dikenali sebagai ketuhar pintar, Inspiro membenarkan banyak fleksibiliti dan mudah digunakan (hanya memilih jenis masakan, dail hidangan tertentu dan tekan mula).
Ia menentukan masa memasak dengan memantau penggunaan tenaga serta masa diperlukan untuk memulakan kenaikan suhu udara dalam ketuhar atau jumlah tenaga dan masa digunakan untuk memanas ketuhar, bergantung kepada bilangan hidangan yang hendak dimasak.
“Menerusi konfigurasi pemanasan yang betul, ia memastikan kulit ayam rangup dan berwarna perang. Ia juga menunjukkan sama ada perlu menggunakan pemeriksaan makanan terbina dalam, yang dimasukkan di tengah potongan daging atau ikan.
“Apabila proses memasak selesai, ketuhar akan berhenti memasak dan memberi isyarat seolah-olah makanan itu sudah tersedia. Ia juga boleh digunakan dalam mod manual,” katanya.
Selain itu, Inspiro mempunyai sistem penapisan platinum atau palladium pemangkin yang menanggalkan bau serta memecahkan lemak.
Ia sekali gus mengelak bau atau minyak yang terlekat pada perabot atau langsir.
“Antara kebaikannya, Inspiro menampilkan sistem pembersihan Pyreluxe iaitu kaedah pembersihan keseluruhan ketuhar. Ia juga mampu mengurangkan sisa makanan kepada abu yang boleh dilap dengan mudah tanpa menggunakan ejen bahan kimia selain menunjukkan bila ia perlu dibersihkan,” katanya.
Majlis terbabit turut menyaksikan pembukaan kedai konsep sebagai pusat sehenti untuk semua produk Electrolux yang menggabungkan susun atur kedai serba ringkas dan selesa.