Krim BB - Krim ajaib



Sambutan hangat masyarakat terhadap filem dan drama Korea turut meledakkan kegilaan baru di kalangan syarikat kosmetik Asia.

Kegilaan yang bermula di kalangan selebriti Korea ini kemudian merebak ke Jepun dan China seterusnya menular di kalangan masyarakat tempatan.

Krim muka blemish balm atau lebih dikenali sebagai krim BB mula diangkat sebagai salah satu produk penjagaan muka dan solekan yang sesuai untuk cuaca serta kulit orang Asia. Ada segelintir turut menggelarnya krim ajaib kerana menawarkan pelbagai fungsi kecantikan dengan hanya satu produk.

Namun, kebanyakan pengguna memanfaatkan sepenuhnya lima fungsi krim itu - melembap, menghalang sinaran ultraungu matahari, penyamar cela, bedak asas dan antipenuaan.

Menurut Eksekutif Pemasaran Skin Food (Malaysia) Sdn Bhd, Marsha Lim, ia mula popular selepas selebriti Korea secara terbuka menyatakan keyakinan mereka terhadap krim BB ini.

"Krim ini dibawa ke Malaysia pada 2005, tapi hanya popular sejak tahun lalu apabila ramai selebriti Korea dan Jepun menjadi jurucakap produk itu.

"Ia produk magis. Sememangnya krim BB sesuai untuk kulit Asia, di samping membantu merawat jerawat dan menyamaratakan warna kulit. Kini, pelbagai produk BB dipasarkan mengikut keperluan kulit masing-masing," katanya.

Kata Marsha, fungsi krim BB tidak lagi terhad kepada lima faktor itu malah mula dipelbagaikan sebagai tarikan pasaran dan dijual pada harga lebih berpatutan.

"Pada awal kemunculannya, krim ini dipasarkan pada harga tinggi kerana lima fungsinya yang berkesan. Tempoh penggunaannya juga antara tiga hingga ke enam bulan, jadi ia bernilai untuk wang pengguna.

"Krim BB juga muncul dengan pelbagai variasi, terpulang kepada jenis dan masalah kulit pengguna. Bagi produk Skin Food, kami menawarkan empat jenis krim BB untuk menangani kehendak pelanggan," katanya.

Krim Peach Sake Pore SPF20 PA+ bagi mereka yang mengalami kulit berminyak, Aloe Sunscreen SPF20 PA+ untuk kulit kering, Gingko Green untuk kulit berjerawat dan Mushroom Multi Care SPF20 PA+ bertindak sebagai antipenuaan dan melicinkan kulit.

Penggunaan krim BB ini sebenarnya turut menjimatkan masa kerana tidak perlu lagi mengoles bedak asas dan bedak padat sebelum memulakan solekan.

"Disebabkan fungsinya sebagai bedak asas dan penyamar cela, penggunaan krim BB ini sudah memadai dan disudahkan dengan bedak debu. Bagi yang gemar solekan berat, gunakan krim ini kemudian teruskan dengan solekan pipi dan mata diakhiri dengan bedak debu serta gincu," katanya.

Dengan pelbagai kelebihan yang ditawarkan dalam satu produk, justeru apa sebenarnya krim BB ini?

Asalnya ia dirumus pakar dermatologi Jerman yang berfungsi sebagai pelembap terapeutik bagi merawat pesakit yang menjalani rawatan pengelupasan dan laser.

Kini, ia dirumus semula dengan menggabungkan lima fungsi itu bagi memberi manfaat dan kemudahan kepada pengguna. Kebanyakan krim BB yang ada di pasaran ketika ini mengandungi jumlah pelembap tinggi dan faktor perlindungan matahari (SPF) selain rumusan antipenuaan, rawatan jerawat dan bedak asas untuk litupan menyeluruh.

Antara produk BB yang popular di pasaran tempatan ialah Magic BB daripada Silkygirl, Miracle Multiplex BB daripada Elianto, Oil Free BB dan Pure Blossom Shimmering daripada The Face Shop.

Krim BB daripada Silkygirl bertekstur ringan meskipun digunakan dalam tempoh panjang. Ia turut mengandungi asid hyaluronik bagi mengurangi garisan halus terutama di bahagian mata, sementara vitamin E derivatif berupaya menentang radikal bebas.

Miracle Multiplex BB daripada Elianto pula dilengkapi SPF50 PA+++ yang bertindak sebagai penghadang sinaran ultraungu paling berkesan dan dapat mengawal pengeluaran sebum.

Terdapat dua pilihan sama ada Miracle White Multiplex untuk kulit matang atau Miracle Multiplex bagi kulit lebih muda. Kedua-duanya tampil dalam tiga rona - soft beige, nude beige dan warm beige yang sesuai dengan warna kulit kebanyakan masyarakat Asia.

Uniknya, krim BB ini dapat membantu membaiki tekstur kulit secara keseluruhan serta beransur-ansur menghilangkan parut jerawat di wajah.

Fungsi Krim BB

# Pelembap

Ia fungsi utama dalam setiap krim BB dengan kepekatan tinggi dan boleh terus menggunakannya selepas mencuci muka, tanpa perlu menggunakan pelembap biasa.

# Faktor perlindungan matahari (SPF)

Majoriti krim BB mengandungi SPF25 PA+ dan ke atas, jadi ia memberi perlindungan lebih baik dan tidak perlu lagi menyapu losen tabir suria biasa.

# Rawatan jerawat, jeragat dan parut

Krim BB dihasilkan dengan bahan aktif semula jadi yang membantu untuk mengatasi dan memperbaiki masalah itu, malah tidak meninggalkan minyak keterlaluan.

# Antipenuaan

Sebahagian besar krim BB dalam pasaran kini mempunyai kandungan antipenuaan yang dapat mengurangi garis halus di sekitar mulut dan mata.

# Bedak asas dan penyamar cela

Olesan krim BB sudah memadai sebagai asas kepada solekan. Ia turut bertindak sebagai penyamar cela untuk menghilangkan kesan hitam bawah mata, menyamar kesan berbintik dan jerawat.

# Losen pemutih

Sesetengah produk BB menambah esen pemutih bagi membantu mencerahkan semula kulit dan mengawal pigmentasi.