Gabungan rona lembut yang menyerlahkan lagi cahaya kelembutan dalaman seseorang wanita menjadi inti pati koleksi Sensuous Gold.
Solekan menggunakan koleksi warna itu dikatakan mampu menghasilkan kilauan hangat rona keemasan yang sememangnya tampak cantik dan berseri, sekali gus menyerlahkan keunikan wanita.
Koleksi rona yang diketengahkan jenama Estee Lauder itu dihasilkan daripada ilham wanita moden yang bukan saja berkeyakinan tinggi, malah mempunyai kekuatan, kehangatan serta sinar kewanitaan.
Menurut Naib Presiden Pembangunan Warna, Pembangunan Produk Global Estee Lauder, Tara Cohen, koleksi warna itu direka bagi membolehkan wanita hadir dalam solekan lembut yang bukan saja kelihatan sofistikated, tetapi turut menyerlahkan imej elegan dan sinar berkilauan.
"Koleksi berkenaan mampu memenuhi cita rasa wanita hari ini kerana ia mempunyai himpunan warna sama ada untuk tampil penuh kelembutan ataupun dengan solekan yang sarat dengan impak dramatik.
"Ia membolehkan wanita menyuai padan dengan pelbagai fesyen untuk menyerlahkan lagi penampilan dan gaya hidup menarik yang dimiliki," katanya.
Koleksi rona menarik berkenaan boleh didapati dalam tempoh terhad saja di kaunter jenama berkenaan di seluruh negara bermula pertengahan Oktober lalu.
Selain itu, bagi memberi kelainan dalam solekan, Tara turut berkongsi teknik solekan menggunakan beberapa produk terbaru daripada koleksi warna berkenaan.
Antara produk yang digunakan adalah bedak shimmer lima rona berkilauan untuk mata, pipi serta muka warna pic dan merah jambu (RM140), bedak Gilded Rose Marblezed edisi terhad (RM120), maskara Sumptuous hitam (RM 85), pembayang mata edisi terhad, Quad in Rose Gold (RM125), pensil mata rona gangsa (RM68), gincu bibir istimewa edisi terhad rona kulit kayu manis dan Terracotta (RM78) setiap satu, pengilat bibir edisi terhad rona Rose Gold (RM72) dan pewarna kuku edisi terhad Rose Gold (RM55)
Tip solekan daripada Tara:
# Untuk menampilkan solekan yang tampak feminin, lembut dan bercahaya, bedak asas hanya dipakai di kawasan yang diperlukan saja pada wajah.
# Untuk menghasilkan solekan mata yang cantik, sapukan pembayang mata rona lembut pada separuh kelopak mata sebelum menggunakan rona yang lebih terang.
# Bagi menyerlahkan kecantikan mata, jangan ketinggalan untuk membentuk garisan di garisan mata bawah serta atas menggunakan pensil mata.
# Akhiri solekan mata dengan memakai maskara di bulu mata bahagian atas saja.
# Jangan ketinggalan memakai pengilat bibir selepas menggunakan gincu kerana ia boleh menghasilkan rona yang lebih cantik dan berkilau.
# Akhir sekali, untuk memberi kesan lebih berkilau, sapukan bedak Gilded Rose Marbleized Shimmer di sekitar wajah.