Beaubelle Worldwide Sdn Bhd (Beaubelle) memperkenalkan teknologi baru dalam dunia pelangsingan badan melalui mesin Power Shape.
Teknologi yang dibawa khas dari Korea itu menggabungkan tiga fungsi iaitu radio frekuensi, laser dan kaedah vakum bagi mempercepatkan proses pemecahan dengan cara mudah dan berkesan serta tidak mendatangkan kesakitan kepada penggunanya.
Pakar kecantikan, Reanne Thong, berkata mesin berkenaan juga membantu dalam proses pengedaran darah, mengurut serta pembuangan cecair dan toksin dalam badan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, pengguna akan merasai sedikit kesan haba akibat penggunaan laser di kawasan tumpuan lemak kerana ia bertujuan mempercepatkan proses pembakaran lemak berkenaan.
Keadaan ini membuktikan ketiga-tiga fungsi terbabit saling berkaitan antara satu sama lain kerana selain memecahkan lemak, ia turut membantu memulihkan kulit kusam di samping melembutkan struktur kulit terbabit.
"Bagaimanapun, pengguna juga perlu memainkan peranan untuk mengekalkan keadaan itu dengan mengamalkan pemakanan seimbang serta sihat dan melakukan senaman secara berterusan.
"Jangan hanya mengharapkan bantuan mesin kerana jika tidak berusaha untuk menyeimbangkannya, kesan berkenaan akan hilang dalam sekelip mata saja," katanya.
Sementara itu, Pengurus Kanan merangkap Pengarah Penjenamaan Beaubelle, Julius Lim berkata, sejak diperkenalkan kira-kira 10 tahun lalu, jenama itu dikatakan terus mengumpul pengguna setia kerana ia menggunakan bahan semula jadi.
"Sokongan daripada pengguna setia sedikit sebanyak memberi kekuatan kepada Beaubelle untuk meluaskan pasaran kerana produk ini dapat membantu menyerlahkan keyakinan diri si pemakainya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan keenam spa Beaubelle Skin & Body Care di pusat beli-belah terkemuka IOI Mall, Puchong, Selangor baru-baru ini.
Hingga kini, terdapat lebih 200 produk di bawah jenama Beaubelle termasuk produk perawatan wajah dan tubuh, serta minuman kesihatan.
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan