Norton 2010 cegah pencuri siber


Pencuri 'online' hari ini tidak akan menghentikan kegiatan mereka menghilangkan duit dan menciplak identiti anda apatah lagi golongan ini kerap menggunakan perkakasan yang sofistikated untuk tujuan terbabit.

Vendor perisian keselamatan terkemuka, Symantec saja menghalang hampir 245 juta serangan berkod jahat 'malicious' setiap bulan sepanjang 2008 termasuk e-mel, laman web dan pengiklanan palsu.

Menyedari hakikat terbabit, Symantec menghasilkan perlindungan lebih terperinci pada produk terbaru mereka iaitu Norton 2010 yang mempunyai pendekatan unik menghalang kegiatan tidak bermoral dalam online.

Pengurus Pemasaran Produk Serantau Asia Pasifiknya, David Hall, memaklumkan syarikat itu memperkenalkan model keselamatan terkini dengan nama kod Quorum yang mengesan virus berdasarkan pergerakan tertentu.

"Quorum adalah senjata utama dalam perlindungan online kerana ia akan mengesan isyarat secara bersepadu mengenai kegiatan malware," katanya.

Menurut Hall, kegiatan malware pada masa kini menggunakan isyarat unik yang berubah dan ia memerlukan perlindungan secara sistematik dan bersepadu dalam usaha menangkisnya.

Sementara itu Naib Presiden Perniagaan Pengguna Asia Pasifik dan Jepun, David Freer, berkata jenayah siber kini mengatasi penyeludupan dadah sebagai jenayah paling menguntungkan.

"Setiap tiga saat, kita akan menyaksikan identiti dicuri. Kita perlu menyedari jenayah siber tidak sekadar menghancurkan komputer malah hidup masyarakat," katanya ketika pelancaran Norton 2010 yang turut dihadiri Ketua Perniagaan Symantec Asia Selatan, Effendy Ibrahim.

Norton 2010 merangkumi perlindungan AntiVirus 2010 dan Internet Security 2010 yang dijual pada harga RM139 dan RM179 untuk tiga komputer.

Oleh Afiq Hanif