(Ulasan + Sinopsis Novel) Wedding Night - Sophie Kinsella

Judul: Wedding Night
Penulis: Sophie Kinsella
Penerbit: Bantam Press
Harga: RM69.90


Ia seperti kisah tipikal dua beradik yang diceritakan menerusi pandangan masing-masing mengenai derita cinta hingga membawa mereka menamatkannya di Greece.

Lottie, si adik yang penuh harapan serta impian untuk hidup bahagian bersama teman lelakinya. Fliss, si kakak pula ibu kepada seorang anak lelaki yang bergelut dalam isu perceraian hingga membuatkannya melihat dunia dengan penuh negatif.



Fliss komited dengan kariernya sebagai pengarang majalah kembara dan disayangi adiknya, namun dia sering campur tangan setiap kali Lottie berdepan masalah cinta.

Kisah ini lebih kepada kembara pengalaman dan bukannya destinasi hidup mereka. Dalam Wedding Night ini, Sophie Kinsella cuba mengingatkan semula pembacanya mengapa dia masih menjadi salah seorang penulis fiksyen chic-lit wanita paling popular di dunia.

Biarpun rentak penulisan Sophie hampir sama dengan beberapa nukilannya sebelum ini - lucu, hangat dan membangkitkan semangat - Wedding Night sedikit mengecewakan bagi penulis.

Sophie masih berada dalam senarai pertama menjadi kegemaran penulis, namun watak Fliss yang terlalu inginkan adiknya bahagia hingga bertindak ekstrem pada malam perkahwinan Lottie membuatkan penulis jelak dengan komplot sabotajnya. Benar, Fliss bimbang Lottie sekali lagi terjebak dengan sindrom pilihan malang seperti yang berlaku beberapa kali sebelum itu, tapi jika kita amat menyayangi ahli keluarga - adik, abang, kakak mahupun anak - bukankah sebaiknya kita terima apa jua keputusan mereka kerana itu sebahagian daripada pengajaran hidup?

Bagi penulis, Fliss sebenarnya iri hati dengan kebahagiaan yang cuba dikecapi adiknya lalu menggunakan kisah perceraiannya sebagai alasan untuk membantu Lottie.

Meskipun kerap mengambil keputusan mendadak hingga akhirnya memakan diri, Lottie bukanlah wanita lemah dan mudah dipermainkan. Ya, Lottie mudah hanyut dalam cinta, namun dia juga pantas mengesan petanda bahawa hubungan cintanya tidak akan berkekalan.

Pada usia 33 tahun, Lottie enggan menghabiskan masa bercinta terlalu lama dengan teman lelaki yang jelas sekali tiada hasrat meneruskan hubungan itu ke peringkat seterusnya.

Lara atas perpisahannya dengan Richard, Lottie cuba menenangkan diri dengan kariernya sebelum Ben, teman lelaki pertamanya ketika berusia 18 tahun, menghubunginya secara tiba-tiba.

Pertemuan dengan Ben membangkitkan semula semarak cintanya pada lelaki itu dan mereka terus merancang mendirikan rumah tangga lalu terbang ke Ikonos, Greece bagi meraikan malam perkahwinan mereka.

Ikonos menjadi permulaan percintaan mereka 15 tahun lalu dan lokasi itu dipilih bagi mengembalikan semula memori pertama perkenalan Lottie dan Ben.

Apabila diketahui Fliss, dia sedaya upaya menggagalkan percutian bulan madu Lottie dengan harapan mereka berpisah selepas melihat keburukan pada diri masingmasing.

Daripada masalah katil hinggalah alahan pada kacang yang membuatkan Lottie nyaris maut, semuanya dilakukan Fliss dengan bantuan pengurus hotel (atas kapasiti Fliss sebagai pengarah majalah kembara yang memberikan reviu lima bintang untuk hotel itu).

Lottie akhirnya membatalkan perkahwinan itu, bukan atas bantuan Fliss, tapi selepas menyedari Ben bukanlah lelaki hebat yang dikenalinya dulu.

Menariknya, Sophie berjaya mengendalikan beberapa plot rumit terutama membabitkan isu perceraian dan tuntutan anak. Ada juga beberapa aspek penceritaan atau skop yang agak longgar, tapi secara keseluruhan Wedding Night ini mudah dan ringan isinya.

Oleh Nor Faizah Mohamed