Sistem Levi Berbeza PIDM berjaya

Sistem Levi Berbeza PIDM berjaya

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah melaksanakan rangka kerja Sistem Levi Berbeza dengan jayanya bagi anggota penanggung insurans konvensional buat kali pertama tahun ini.

Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menggalakkan pengurusan risiko yang baik dalam sistem kewangan.

Anggota berkaitan mengemukakan penyata dan levi menjelang 31 Mei, demikian mengikut Laporan Tahunan PIDM 2012.

Sistem Premium Berbeza (DPS) bagi bank anggota telah dilaksanakan sejak 2008.

"Di bawah kedua-dua sistem, institusi anggota dengan profil risiko rendah membayar premium atau levi yang lebih rendah daripada anggota yang mempunyai profil risiko lebih tinggi.

Tingkat amalan pengurusan risiko

"Ini adalah insentif kepada institusi anggota untuk meningkatkan amalan pengurusan risiko masing-masing dan memperkenalkan proses penilaian levi dan premium yang lebih adil," kata Ketua Eksekutif PIDM, Jean Pierre Sabourin, dalam satu kenyataan semalam.

Antara pencapaian besar yang diketengahkan dalam laporan tahunan itu ialah peningkatan kesedaran orang ramai tentang PIDM dan sistem perlindungannya, iaitu Sistem Insurans Deposit (DIS) dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS).