(Ulasan) Ledakan Facebook Antara Pahala dan Dosa - Dr Zaharuddin Abd Rahman

Ledakan Facebook Antara Pahala dan Dosa Review
Berhati-hati pada dosa yang disedari ataupun tidak dan ayat berbentuk amaran yang tertera di kulit buku Ledakan Facebook Antara Pahala dan Dosa karya pendakwah terkenal, Dr Zaharuddin Abd Rahman, antara daya penarik naskhah yang mendedahkan pelbagai dakwaan dikaitkan dengan laman sosial Facebook.

Hukum penggunaan dan pelbagai persoalan lain yang membelenggu umat Islam dimuatkan dalam buku yang dibahagikan dalam 15 bab, dengan dua bahagian utama, iaitu Facebook: Ke Syurga Ataupun Neraka dan Kongsi Status Facebook Berhikmah.

Pelbagai bab menarik termasuk Hukum Facebook dan Blog, Fenomena Puji, Ampu dan Bodek di Facebook dan Akidah, turut dimuatkan dalam buku yang menyediakan fakta menarik mengenai laman sosial terbabit.


Laman sosial
Antaranya lebih 800 juta masyarakat dunia menggunakan Facebook dengan menggunakan 70 jenis bahasa berlainan dan hampir 250 juga gambar dimuat naik setiap hari.

Buku setebal 170 halaman terbitan PTS Islamika Sdn Bhd ini boleh dikatakan satusatunya buku di pasaran yang menceritakan dengan terperinci hukum Facebook mengikut perspektif Islam dan memberikan panduan jelas kepada penggunanya agar tidak terpalit dengan dosa.

Bab 2, iaitu Dosa-dosa dan Facebook antara bab penting dalam naskhah ini yang antaranya menyenaraikan dosa yang sering tidak disedari pengguna termasuk mendedah keaiban suami atau isteri di Facebook.

Facebook juga terlalu banyak memuatkan gambar terutama wanita dengan gaya, aksi dan fesyen pelbagai serta tagging yang menandakan penggunaan gambar berkenaan sebenarnya adalah tanpa izin.

Bahaya di sebalik pujian

Selain itu, menerusi Bab 7 yang mengutarakan perbincangan Fenomena Puji, Ampu dan Bodek di Facebook pula, memberikan banyak saranan kepada pengguna laman Facebook supaya mengambil sikap berhatihati setiap kali menulis status, mengulas atau berkongsi pandangan.

Dr Zaharuddin menekankan bahawa Facebook boleh menjadi sumber pahala kepada penggunanya, sekiranya dimanfaatkan dengan betul dan antaranya menyebarkan status Facebook berhikmah.

Menerusi bab 9 hingga 15, Dr Zaharuddin mengetengahkan status yang boleh dikongsi di laman Facebok merangkumi aspek akidah, ibadat, keluarga dan rumah tangga, lelaki serta wanita, penghayatan motivasi yang boleh menjadi sumber pahala jika dimanfaatkan sebaikbaiknya.

Antara yang menarik ialah sabda Nabi Muhammad SAW mengenai hawa nafsu yang jika dituruti sewenangwenangnya akan membuka jalan mudah ke neraka, penghayatan alQuran dan petua mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Buku ini boleh dijadikan panduan bagi ibu bapa dalam memantau sejauh mana anak mereka bijak, tulus dan tidak terkeluar daripada landasan Islam, ketika menggunakan laman sosial Facebook, Twitter, Keek dan Instagram.

Pembaca juga diingatkan supaya sentiasa kembali kepada syariat dalam apa juga perbuatan yang dilakukan, termasuk dalam penggunaan laman sosial di alam maya.

Selebihnya, terpulang kepada pembaca untuk menilai sejauh mana buku berharga RM18 senaskhah ini menepati selera anda dan masih belum terlambat untuk bermuhasabah diri.

Ulasan Latifah Arifin

LEDAKAN FACEBOOK ANTARA PAHALA DAN DOSA
Pengarang: Dr Zaharuddin Abd Rahman

Tebal: 170 halaman

Penerbit: PTS Islamika Sdn Bhd

Harga: RM18

Bintang: ****


Dr Zaharuddin Abd Rahman bukan saja seorang penulis, tetapi turut bertugas sebagai Penolong Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahli Majlis Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM; Ahli Lembaga Pengarah Al Naqiy Islamic Solution Sdn Bhd dan beberapa syarikat korporat lain.

Lulusan Sarjana Muda Usuluddin, Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti AlYarmouk, Jordan dan Ijazah Falsafah Kedoktoran Universiti Wales, United Kingdom.

Ketokohannya dalam hal ehwal syariah, semasa, ekonomi dan perbankan Islam menyebabkan beliau sering mendapat jemputan forum dan ceramah di televisyen, akhbar serta majalah.

Dinobatkan sebagai pemenang web Islam individu terbaik oleh Anugerah Media Islam 2009 melalui laman webnya, www.zaharuddin.net yang dikunjungi 5,000 orang setiap hari.

Sehingga kini beliau sudah menulis 13 buku dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab yang antaranya Wang, Anda dan Islam: Halal dan Haram Dalam Kewangan dan Perbankan, Malaysia: True Wealth, Formula Solat Sempurna dan Murabahah: Teori, Aplikasi & Isu dalam Perbankan Islam Semasa.