Apakah persediaan lazim sebelum anda pergi membeli-belah? Menyenaraikan keperluan yang dibeli? Paling penting, wang yang mencukupi bukan?
Adakalanya aktiviti membeli-belah tidak selancar seperti yang dirancang. Wang tunai yang ada mungkin tidak mencukupi.
Alternatifnya, anda perlu mencari mesin ATM. Paling memeritkan apabila sampai di mesin ATM, mesin tersebut sama ada tidak dapat digunakan kerana kehabisan wang atau anda terpaksa beratur panjang.
"Saya merasakan pengalaman dan aktiviti beli-belah saya lebih mudah dan menyeronokkan.
"Dengan menggunakan kad debit MasterCard®, saya tidak perlu bersusah payah beratur di mesin ATM atau tercari-cari mesin ATM di pusat beli-belah," kata Farhah Hazri, 30, yang pertama kali menggunakan kad tersebut.
Eksekutif pentadbiran di salah sebuah syarikat swasta itu menjelaskan, meskipun pada peringkat awal dia agak was-was untuk menggunakan kemudahan tersebut, tetapi pandangan beliau berbeza setelah menggunakannya.
"Saya tidak perlu membebankan diri mengira wang semasa membayar atau bakinya selepas proses membeli-belah dan menyimpan baki wang syiling yang memberatkan dompet," kata Farhah yang menyertai program menggunakan kad debit MasterCard®.
Menerusi program tersebut, Farhah diberi masa sehari berbelanja dengan kad debit MasterCard® di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur.
Menurut Farhah, sebelum mendapat kad tersebut, dia perlu membuka akaun simpanan di EON Bank. Bank tersebut kemudiannya akan mengeluarkan kad debit. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui, proses untuk mendapatkan kad debit juga tidak sukar. Malah, anak kedua daripada empat beradik itu mengakui penggunaan kad debit memberinya banyak kelebihan.
"Saya bukan saja rasa teruja dengan kemudahan yang ditawarkan, bahkan rasa lebih selamat kerana tidak perlu membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak dan menebalkan dompet saya. Pada masa sama, ia menjimatkan masa kerana semasa pembayaran saya hanya perlu menandatangani resit, menyimpan salinannya dan urusan jual-beli selesai semudah A, B, C," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menerusi program tersebut yang memperuntukkan sebanyak RM1,000, Farhah sempat membeli lebih lima helai kemeja untuk suaminya, perkakasan memasak, pakaian, hadiah perkahwinan untuk rakan-rakannya dan beberapa buah buku.
Tambahnya, penggunaan kad debit MasterCard® juga tidak memerlukan nombor pengenalan peribadi (PIN) dan harga barangan yang dibeli akan dipotong secara automatik daripada kad tersebut.
"Inilah antara kelebihan kad debit MasterCard® berbanding kad ATM yang memerlukan nombor pengenalan peribadi (PIN). Lebih istimewa, tiada kadar faedah yang dikenakan," ujar Farhah yang sempat menjamu selera di kafe kegemarannya, Starbuck bersama rakan-rakan dengan menggunakan kad debit tersebut.
Kata Farhah, berbelanja dengan kad debit tidak seperti menggunakan kad kredit. Ini kerana, kad kredit mendorong pengguna berbelanja mengikut kemahuan. "Jika wang yang diperuntukan hanya RM1,000, hanya itu sajalah jumlah yang boleh dibelanjakan oleh pemegang kad.
"Secara tidak langsung, ia membantu mengawal tabiat berbelanja kerana saya perlu tahu baki yang terdapat dalam kad debit sebelum berbelanja," ujarnya yang mahu mempromosikan penggunaan kad debit di kalangan rakan-rakannya.
Kad debit MasterCard®, menyediakan alternatif yang selamat dan selesa untuk wang tunai serta kawalan perbelanjaan.
Harga barang yang dibeli akan dipotong daripada akaun pemegang kad tersebut di mana tiada faedah dikenakan.
Dalam kebanyakan kes, individu tidak memerlukan latar belakang kredit untuk memiliki kad debit.
"Bagaimanapun, pemegang kad tidak boleh mengeluarkan wang lebih daripada apa yang ada dalam akaun tersebut. Ia menyamai kad ATM yang membenarkan pengguna untuk pemeriksaan dan simpanan akaun bank melalui ATM," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kad debit MasterCard®.
SELEPAS menandatangani resit pembelian urusan jual-beli anda dengan kad debit MasterCard® selesai.
Kad debit MasterCard® adalah kad bayaran yang dikeluarkan oleh MasterCard® yang mengakses ke akaun bank pelanggan. Ia menggabungkan kesemua penggunaan kad ATM yang membolehkan akses wang tunai dan pemindahan perbankan.
Malah, aktiviti beli-belah boleh dilakukan di berjuta-juta lokasi beli-belah di seluruh dunia yang menerima kad debit MasterCard®.
Menurut Farhah, kaedah pembayaran tanpa wang tunai itu juga membolehkan seseorang membeli cakera padat kegemaran mereka, membaiki kereta atau kos rawatan di hospital. Satu lagi kelebihan kad tersebut adalah ia boleh digunakan untuk pembelian melalui telefon atau Internet selagi proses tersebut menerima kad debit.
Adakah kad debit MasterCard® membolehkan seseorang mengeluarkan wang tunai?
"Jawapannya, ya. Kad debit MasterCard® boleh digunakan di mana-mana ATM, deposit, pemindahan atau mendapat maklumat akaun secepat mungkin," menurut kenyataan itu lagi.
Penanda jenama Cirrus pada kad debit membolehkan pemegang kad untuk mendapatkan wang tunai di seluruh dunia.
Seperti kad-kad ATM lain, kad debit Mastercard juga perlu dilindungi daripada rosak. Ini termasuklah menjauhkannya daripada benda-benda bermagnet, panas yang keterlaluan dan objek yang boleh mencalarkan kad tersebut.
Kad debit Mastercard boleh didapati di bank-bank yang menjadi terminal Mastercard. Ini termasuklah Affin Bank, Alliance Bank, EON Bank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank. -NAJIBAH HASSAN