Wangian Usher For Men, Usher For Women

Bintang pujaan R&B terkenal, Usher Raymond, meluaskan empayar perniagaannya dengan menyertai dunia penjagaan diri serta kecantikan menerusi pengenalan dua wangian terbaru, istimewa untuk lelaki dan wanita.

Menurut Usher, dua wangian berkenaan, Usher for Men serta Usher for Women menggambarkan kekuatan dan keseksian seseorang yang mampu menterjemah emosi pemakainya.

"Usher for Men adalah wangian menyeronokkan penuh bertenaga. Ia dihasilkan daripada gabungan lavender biru, lada putih, kayu cendana, kayu ambar, melon, nanas serta verbena.

"Usher for Women pula haruman buah-buahan serta flora seksi dan feminin. Wangian ini dihasilkan daripada fresia merah samar, bunga epal, aprikot, bunga kemboja, kembang melati, kayu ambar serta setanggi.

"Kedua-dua haruman berkenaan didatangkan dalam botol menarik yang direka untuk menyerlahkan imej eksklusif pemiliknya," katanya.

Haruman berkenaan akan berada di pasaran bermula Mac ini dan boleh didapati dalam bentuk semburan EDT serta EDP pada harga bermula daripada RM210 hingga RM275.

Selain haruman, Usher turut menawarkan rangkaian tonik selepas bercukur, pewangi ketiak serta losyen pelembap badan.