Pemenang beberapa anugerah. Bertaraf resort, berkonsep Bali dan mampu memberikan ketenangan minda dan tubuh daripada tekanan kehidupan kota yang tidak lekang dengan kesibukan.
Serenity Spa pernah memenangi Best Day Spa Malaysia Spa & Wellness Spa Festival tahun 2006 dan 2007, Best Spa Design Hotel/Resort Malaysia Spa & Wellness Festival 2007, Top 5 Best Day Spa Hospitality Asia Platinum Award (HAPA) 2007, dicalonkan untuk HAPA Enterpreneur of the Year dan Hospitality Asia Platinum Award (HAPA) 2007.
Dari luar lagi, keindahan seni bina dan kemewahan Serenity Spa milik pengasasnya, Mona Din pasti membuat pelanggan teruja. Dua tiang besar atau tugu batu dibina di kiri kanan jalan untuk masuk ke spa seolah-olah memasuki ke istana lama Bali.
Di sekitarnya, pepohon buluh Jepun berdaun halus serta pokok-pokok bunga berdaun hijau ditanam di dalam pasu dan tempayan besar menyegarkan suasana sekeliling.
Setiap yang ke sini pasti akan terhenti seketika sebelum melangkah ke dalam, melihat pintu besar seperti gerbang penuh berukir. Alangkah seronok dan damainya jiwa mengulit tubuh di spa yang cantik dan indah berkonsep tradisional Bali ini.
Pelanggan yang datang dilayan penuh kemesraan oleh kakitangan spa yang terlatih. Ruang tamu atau ruang menunggu dihias cantik dengan perabot kayu jati dari Bali. Pelbagai perhiasan diletakkan di ruang ini agar pelanggan ralit seketika sambil menunggu dipanggil untuk rawatan.
Sebaik melangkah kaki ke dalam spa, anda akan terlupa seketika dunia luar. Anda akan dapat menikmati ketenangan dibuai aroma minyak serai yang memenuhi ruang tamu spa yang dihias ala Bali. Ditambah dengan alunan muzik atau 'dengung' Bali yang bisa membuat anda terlena seketika.
Setiap ruang spa ini dihiasi dengan perabot atau perhiasan daripada kayu jati bagi mewujudkan suasana spa Bali sebenar.
Terdapat dua buah bilik rawatan di tingkat bawah. Sebuah untuk pasangan suami isteri dan sebuah lagi bagi pelanggan lelaki yang ingin mendapatkan rawatan. Pendek kata apa sahaja rawatan yang boleh diperoleh untuk wanita, lelaki juga boleh mendapatkannya di sini.
Lebih banyak bilik rawatan terdapat di tingkat atas spa dua tingkat ini. Untuk ke atas, pelanggan akan berjalan di atas batu-batu yang disusun di dalam kolam kecil. Kemudian pelanggan akan menaiki beberapa anak tangga seperti tangga rumah Melaka tradisional.
Pelanggan perlu menaiki beberapa anak tangga kayu yang lebih tinggi di mana kiri kanan tangga diterangi cahaya lilin yang meliuk lentuk.
Sebuah ruang menunggu yang selesa disediakan bagi pelanggan atau mereka yang datang menemani di tingkat atas. Dengan cahaya yang samar-samar, seseorang itu pasti terlena seketika sambil mendengar alunan muzik perlahan.
Di tingkat ini, terdapat dua buah bilik untuk pasangan, dua buah bilik untuk rawatan bagi seorang dan sebuah bilik untuk tiga orang bagi rawatan wajah, manikur, pedikur dan refleksologi.
Pelbagai rawatan yang disediakan di sini seperti rawatan badan termasuk urut, skrub, mandi wap dan rawatan wajah.
Jangan lepaskan pengalaman menikmati rawatan Aromatic Spa 4- Langkah dan Rawatan Wajah Pencerah Intensif pada harga yang mampu dibayar di spa bertaraf resort ini.
Memilih warna ungu
Serenity Spa merupakan hasil sentuhan Mona bersama suami, Zulkefli Muhamad Ali memilih warna ungu bagi keseluruhan spa untuk wanita dan lelaki ini.
Ini dapat dilihat pada langsir sutera yang menghiasi spa atau kelambu yang menutupi katil-katil rawatan.
Serenity Spa kini mempunyai tujuh cawangan, iaitu di Setiawangsa; Seksyen 13, Shah Alam; Hotel Grand Bluewave, Shah Alam; Hotel Concorde, Shah Alam; Bangi; Tanjong Puteri Golf Resort dan Hotel M Suites, kedua-duanya di Johor.
Serenity Spa bukan hanya terkenal di seluruh negara malah dengan tujuh cawangan termasuk di empat buah hotel terkemuka menjadikan ia satu-satunya spa tempatan terbesar di Malaysia.
Oleh MERAN ABU BAKAR