Tiada siapa menafikan pengenalan penerbangan tambang murah oleh beberapa buah syarikat penerbangan telah melonjakkan industri pelancongan dunia. Di kalangan rakyat Malaysia, kehangatan berlibur begitu jelas terarah ke kota-kota percutian negara serantau seperti Bali, Bandung, Yogyakarta, Bangkok, Phuket, Hanoi dan Chiang Mai.
Tidak ketinggalan apabila tiket penerbangan tambang murah memanjangkan sayapnya ke China dan Australia. Destinasi-destinasi percutian di sana turut termasuk dalam senarai percutian yang mampu dikunjungi ramai.
Kemeriahan industri pelancongan serantau itu turut menyemarakkan jumlah syarikat atau ejen pelancongan di dalam negara. Namun, dalam keghairahan tersebut, penting untuk memilih ejen pelancongan yang betul dalam memastikan anda tiba ke tempat yang diingini selain mendapat perkhidmatan yang berkualiti.
Antara ejen pelancongan yang mempunyai kredibiliti tersendiri dalam menguruskan kaki-kaki cuti ke destinasi percutian serantau ialah LV Travel and Tours Sdn. Bhd. Dengan tema promosi Mari-mari Cuti, syarikat pelancongan itu mengendalikan percutian antara 500 hingga 700 orang seminggu.
Angka itu menjadi bukti kredibilti LT Travel and Tours dan kepercayaan serta kepuasan pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.
Menurut Eksekutif Jualan LV Travel and Tours, Heng Eng Ling, agensi itu mula beroperasi sejak lima tahun lalu. Bagaimanapun, katanya, kehangatan percutian serantau menyebabkan syarikat tersebut memperkenalkan pakej Muslim sejak dua tahun lepas.
"Sambutan yang kami terima sangat menggalakkan. Dengan kempen promosi Mari-mari Cuti, kami mendapat ramai pelanggan yang kembali menggunakan khidmat kami untuk percutian seterusnya," ujar beliau.
Sementara itu, Eksekutif Pelancongan Bahagian Muslim, Mas Ryna Nazir memberitahu, syarikat tersebut menawarkan pelbagai produk percutian Muslim menarik dengan fokus di kota-kota percutian di Indonesia.
Ketika ditemui di Pesta Umrah dan Pelancongan Muslim MATTA Antarabangsa Selangor di Shah Alam baru-baru ini, beliau menjelaskan, LV Travel and Tours turut mengendalikan percutian Muslim ke China, Vietnam, Thailand dan Kemboja.
"Indonesia dan China adalah antara pakej-pakej yang menjadi kekuatan LV Travel and Tours. Kita mempunyai kerjasama yang rapat dengan wakil-wakil di sana.
"Bayangkan untuk pesta pelancongan Muslim di sini, beberapa wakil daripada badan promosi Yogyakarta juga turun dan berkampung di gerai pameran kami. Dengan adanya wakil dari Yogyakarta, mereka yang berminat ke sana boleh mendapat penerangan yang lebih jelas mengenai aktiviti berlibur di sana.
"Bahkan, apa yang lebih menarik dengan adanya wakil terus dari Yogyakarta, pengunjung boleh mendapat harga yang lebih murah," katanya yang mengakui antara destinasi percutian paling mendapat sambutan ialah Jakarta dan Bandung.
Menyentuh mengenai pakej percutian murah yang diberikan kepada orang ramai, ujar Mas Ryna, perkara itu sememangnya menjadi salah satu daripada matlamat LV Travel and Tours.
Antara kelebihan perkhidmatan agensi itu ialah jika agensi lain mengumpulkan sehingga 15 atau 20 orang sebelum boleh memulakan percutian, di LV Travel and Tours, empat orang sudah memadai.
"Ramai orang merungut sebab kadangkala meereka terpaksa menangguhkan percutian sebab ejen pelancongan ingin memenuhi kuota pelanggan. Dengan kami, kalau sudah cukup empat orang, anda boleh berlepas untuk bercuti," katanya sambil mengakui antara fokus pakej syarikat itu ialah famili atau berkumpulan.
Menjelaskan mengenai pakej Muslim, terang Mas Ryna, antara kelebihan menggunakan perkhidmatan itu ialah pihaknya memastikan pelancong mendapat makanan yang halal, selain tidak mengabaikan solat.
"Ada destinasi-destinasi tertentu yang agak susah untuk mendapatkan makanan halal, tetapi dengan wakil kita yang memang sudah arif, ia bukan satu masalah lagi. Bahkan, kita juga memastikan dalam percutian itu rombongan dapat singgah di masjid atau lokasi bersesuaian untuk bersembahyang," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Badan Promosi Pariwisata Kota Yogyakarta, Ferry Astono yang ditemu bual di gerai pameran LV Travel and Tours memberitahu, pihaknya sentiasa membuat promosi di Malaysia terutama setiap kali diadakan Pesta MATTA.
"Selalunya kami tawarkan harga istimewa bila dapat datang membuat promosi ke Malaysia," katanya.