Homestay Kampung Buluh

Lazimnya setiap keluarga lebih gemar memilih percutian berkonsepkan resort atau chalet di tepi pantai atau deruan air terjun yang jauh daripada hiruk piruk kota sebagai tempat beristirehat dan meluangkan masa bersama keluarga selepas penat dibebani kesibukan kerja.


Pantai yang indah atau gugusan pulau dikelilingi air laut yang jernih sering menjadi tumpuan terutama pada musim cuti sekolah kerana sesuai untuk menjalankan aktiviti seperti bersukan dan memancing bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Namun, apa kata jika sesekali anda lari daripada kebiasaan dan cuba gaya percutian baru dengan menginap di homestay yang menawarkan pakej harga dan kepelbagaian aktiviti tidak kurang hebatnya berbanding pakej percutian yang ada di tempat lain.

Bagi mereka yang berminat mencuba pengalaman baru, Homestay Kampung Buluh yang terletak 1.5 kilometer dari pekan Kuala Berang adalah pilihan tepat kerana ia bukan saja menawarkan pengalaman tinggal bersama masyarakat desa dalam perkampungan tradisional yang kaya dengan unsur sejarah, tetapi aktiviti yang disediakan juga begitu menarik dan sesuai untuk seisi keluarga.

Lokasinya yang strategik terletak di pinggir persimpangan tiga sungai utama iaitu Sungai Terengganu, Sungai Berang dan Sungai Tersat, cukup menggambarkan keindahan dan keunikan susun atur semula jadi perkampungan homestay berkenaan. Ditambah dengan dusun buah-buahan yang merimbun di seluruh pelusuk kampung menyerlahkan lagi kedamaian dan kehijauan landskapnya sekali gus menyejukkan mata memandang.

Homestay Kampung Buluh menyediakan penginapan selesa untuk 200 pelancong pada satu masa. Walaupun kebiasaannya kebanyakan pelancong datang menginap secara berkumpulan, mereka juga menyediakan pakej untuk keluarga dan individu pada harga bermula RM100 dan ke atas untuk penginapan 2 hari 1 malam.

Jika inginkan privasi bersama keluarga, anda boleh memilih untuk tinggal berasingan dan menginap di villa yang lengkap dengan kemudahan asas pada kadar RM100 semalam.

Bagaimanapun, tinggal bersama keluarga tradisional, anda akan didedahkan dan merasai sendiri pengalaman menghasilkan kuih muih tradisional seperti lemang, bahulu, tapai pulut dan tidak ketinggalan keropok lekor yang menjadi identiti penting masyarakat Terengganu.

Bagi yang belum pernah merasai pengalaman mengerau dan memukat ikan sungai, peluang ini tidak wajar dilepaskan kerana aktiviti sebegini jarang ditawarkan di pusat percutian lain.

Pengalaman itu pasti membuat anda teruja kerana Sungai Berang yang terkenal sebagai lubuk dan kaya dengan spesies kelah, baung, patin, sebarau serta jelawat pasti tidak akan membiarkan anda pulang tangan kosong. Malah hidangan ikan sungai itu sememangnya diakui kelazatannya dan popular bukan saja di kalangan penduduk tempatan, tetapi menjadi suatu kemestian untuk dinikmati oleh pelancong luar setiap kali mereka berkunjung ke pekan itu.

Malah anda juga berpeluang memasak dan menikmati hasil tangkapan sendiri sambil mandi-manda di tepi sungai bersama keluarga dengan ditemani bunyi unggas daripada rimba. Airnya yang amat jernih membolehkan kehadiran anak ikan yang bermain-main di celah di dasar sungai jelas kelihatan mampu membuat anda terpesona, apatah lagi ia boleh ditangkap dengan hanya menggunakan tangan.

Bagi mereka yang meminati sukan berkayak, pihak homestay turut menyediakan kemudahan berkenaan termasuk pemandu arah bagi memastikan keselamatan anda terjamin. Jika bertuah, anda dapat melihat kelibat binatang liar seperti rusa, pelanduk dan musang yang mendiami hutan berhampiran sepanjang menyusuri Sungai Berang.

Untuk memastikan pengunjung tidak kebosanan, anda akan dibawa melawat banyak tempat pelancongan menarik termasuk Taman Burung Kuang Ajil yang terbesar di Malaysia dan menempatkan pelbagai jenis burung termasuk spesies yang jarang didapati.

Kunjungan ke Tasik Kenyir, Taman Herba dan Taman Orkid Liar yang terletak di Hutan Lipur Sekayu pastinya meninggalkan kenangan manis untuk anda. Sambil mandi di bawah deruan air terjun, anda juga boleh mengenali dan menghayati keindahan spesies orkid liar dan tumbuhan herba secara lebih dekat dengan mendapatkan informasi melalui galeri di situ.

Selain itu, bagi pencinta sejarah, lawatan ke Memorial Batu Bersurat yang menjadi bukti awal kedatangan Islam ke Semenanjung Tanah Melayu dan Makam Tok Gajah iaitu bapa kepada Pahlawan Mat Kilau akan menjanjikan saat bermakna kepada anda.

Sebelah malam, anda akan dihiburkan dengan pementasan budaya termasuk Tarian Balai, Selingan Rodat dan Silat Pulut oleh Orang Ulu. Bagaimanapun, aktiviti ini disediakan hanya untuk pelancong berkumpulan.

Semua aktiviti berkenaan adalah fleksibel dan disediakan dalam pakej serta harga berasingan. Justeru anda boleh memilih untuk mengikuti mana-mana aktiviti yang disukai.

Walaupun percutian ini tidak menjanjikan hiburan dan suasana mewah, banyak pengalaman dan pelajaran baru yang boleh anda dapati dan jarang didapati dari tempat lain. Sesekali apa kata anda bawa anak-anak merasai kehidupan desa yang damai dan tenang sekali gus menjimatkan bajet anda.

Untuk pertanyaan, anda boleh hubungi Setiausaha Projek Homestay Kg Buluh, Zubir Hasan.

Homestay Kg Buluh

Lokasi: 1.5 kilometer dari pekan Kuala Berang

Pakej: Pakej untuk keluarga dan individu, harga bermula RM100 untuk penginapan 2 hari 1 malam. Ada juga villa yang lengkap dengan kemudahan asas pada kadar RM100 semalam.

Telefon: 013-9104186. (Zubir Hasan)