Membawa jenama dari luar memang banyak cabarannya. Lebih-lebih lagi mereka yang begitu mementingkan mutu dan jenama. Lazimnya, barang alat solek tidak menjadi masalah kepada wanita masa kini kerana apa saja yang diperkenalkan asalkan wajah cantik dan menawan selain bersesuaian dengan kulit, sudah memadai.
Tetapi, ada juga wanita yang begitu mementingkan konsep halal dalam setiap barangan peribadi termasuk alat solek. Tidak mustahil, ada yang sering berhati-hati dengan kandungan bahan alat solek digunakan bagi mengelak daripada mencalit kandungan bahan tidak halal seperti lemak binatang dan sebagainya.
Bagi Pengarah Eksekutif Naturelife Sdn Bhd, Ili Zalwani Datuk Ismail, konsep itu bagaikan keperluan bagi masyarakat Islam yang masih ingin kelihatan cantik pada wajah masing-masing.
Memahami keperluan itu, beliau membawa produk alat solek jenama Farmasi Cosmetics dari Istanbul, Turki yang disahkan halal khusus untuk semua peringkat wanita.
“Turki adalah negara Islam, malah pengeluaran produk mereka juga halal berikutan pemilik jenama yang juga pasangan suami isteri beragama Islam. Mereka tidak menggunakan bahan terlarang seperti lemak haiwan, gelatin serta kandungan kimia dalam produk kecantikan Farmasi Cosmetics.
“Saya memahami kepentingan wanita Islam di Malaysia berikutan permintaan terhadap barangan kosmetik halal semakin tinggi. Sungguhpun ingin tampil cantik, kandungan produk yang dicalitkan pada wajah juga perlu halal mengikut landasan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Subang Jaya, baru-baru ini.
Ili Zalwani yang baru berusia 23 tahun membawa produk Farmasi Cosmetics sejak setahun lalu, malah menjangkakan jenama berkenaan akan mendapat sambutan di kalangan wanita Islam di negara ini.
“Selepas mendapati ia adalah produk halal saya percaya dengan membawa produk Farmasi Cosmetics ke negara kita, ia akan mendapat sambutan menggalakkan.
“Saya tidak ingin menjual barangan yang boleh memudaratkan. Sebelum membawa masuk produk Farmasi Cosmetics ini, saya terlebih dulu membuat kajian terhadap beberapa produk kecantikan lain dan merantau ke negara berkenaan,” katanya.
Beliau akui, selain kandungannya yang halal, beliau tertarik dengan jenama itu berikutan ia sudah berkembang sejak tiga tahun lalu di pasaran antarabangsa. Antara negara yang turut menjual alat solek Farmasi Cosmetics ialah Perancis, Afghanistan, Australia, Kanada, Belanda, Mesir dan banyak lagi
“Banyak cabaran sekiranya ingin membawa masuk barangan luar untuk dipasarkan di negara ini. Terlebih dulu, saya membuat kajian terhadap beberapa jenama lain di internet sebelum ke negara berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut.
“Dari satu tempat ke satu tempat lain, akhirnya saya menemui Farmasi Cosmetics dan sesuai untuk rakyat Malaysia. Ia lebih murah berbanding produk jenama antarabangsa yang lain dijual di sini serta cara membuatnya bersih,” katanya.