Koleksi Pesona Hati dan Anggun jadi pertaruhan Avon Jewellery menerusi hasil buatannya yang menawan.
Inspirasi dizahirkan pada pelbagai aksesori menarik seperti pin, kerongsang, rantai, gelang mahupun jam tangan, memang ada tarikan tersendiri.
Bagi wanita, aksesori berkenaan menjadi perkiraan penting kepada mereka untuk tampil bergaya. Tidak kira remaja mahupun yang sudah berusia, tidak lengkap melangkah ke sesuatu majlis atau destinasi tertentu tanpa sebarang suntikan aksesorinya.
"Avon Jewellery memberi suntikan menarik dalam olahan barangan yang dihasilkan kerana ciri kemasannya.
"Mengambil kira cita rasa mereka yang mahu bergaya, pasti sentuhan aksesori sedemikian memberikan aura kepada pemakai," kata Pengurus Pemasaran dan Pengarah Pembelian dan Pengembangan Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd, Hanim Shahrom.
Pada harga mampu milik serendah RM14.50 hingga RM69.90, ia amat bersesuaian buat mereka yang mengambil kira soal bajet dalam suasana ekonomi tidak menentu hari ini.
Menurutnya, biarpun harganya amat bersesuaian, soal kualiti barangan tidak pernah dipinggirkan. Bahkan, semua aspek diambil kira pihak syarikat dan bukan hanya berorientasikan keuntungan semata-mata.
Hanim tidak menafikan, aksesori dan pakaian untuk suai padan jadi perhitungan wanita khususnya untuk mereka yang sukakan aliran fesyen terkini.
"Tidak hairan kebanyakan mereka yang gemar membuat koleksi aksesori akan menyuai padan sebaiknya berdasarkan keserasian atau aura tertentu barangan.
"Bukan hanya harganya berpatutan, suntikannya yang eksklusif menjadikan aksesori menarik ini sebagai pilihan masa kini," katanya.
Oleh Noriah Idris