Pesona Cinta Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni

Istilah cinta bersifat universal. Cinta terbahagi kepada dua jenis iaitu cinta asli atau hakiki dan cinta palsu. Cinta asli berjalan dengan baik, tidak ada celaan atau kecaman daripada pelakunya. Bentuk cinta dianugerahkan Allah manakala cinta palsu diperhitung Allah, jika tidak diarahkan kepada reda-Nya.

Cinta yang berputar kepada objek cinta seperti cinta kepada wanita, anak, harta yang banyak dan terlalu menghambakan diri dengan cinta terlampau kepada duniawi serta berasa senang dan terlena hingga melupakan Allah sesungguhnya, mereka itu tidak diletakkan dalam istilah cinta asli. Malah, ia juga tidak akan mendapat bahagian yang terbaik daripada Allah walaupun sedikit.

Ramai manusia berpura-pura menyatakan cinta dan ia sesuatu yang tidak pasti. Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya adalah paling agung dan luhur serta tiada kesan buruk. Mencintai Allah adalah ibadat wajib.

Dalam buku Pesona Cinta, penulis meneroka dengan terperinci mengenai pelbagai perkara yang dituntut dalam Islam bagi melahirkan umat Islam sempurna menerusi istilah cinta berkenaan. Penceritaan kisah pada zaman Rasulullah dan sahabat-Nya banyak didedahkan dalam buku ini, sekali gus memudahkan pembaca memahami istilah cinta sebenar dengan mendalam dan menyelami perkara yang utama, selain mendekatkan diri kepada Allah.

Cinta kepada Rasulullah, ia boleh dilakukan dengan sentiasa mengingati anugerah Allah kepada manusia, mempelajari sifat yang baik, membaca al-Quran, hadis dan sejarah kehidupan-Nya, meninjau sifat murah, kasih sayang kepada umat selain memahami beribadat kepada Allah tidak tidak sempurna, kecuali dengan mencintai Rasulullah.

Bagi istilah cinta dalam ummah diperbincangkan dengan teliti. Penyatuan cinta tidak dapat dicapai menerusi semangat nasionalisme, darah, keturunan dan bahasa, sebaliknya ia hanya dapat disatukan menerusi keyakinan dan akidah.

Erti dan hakikat cinta dalam Islam itu dinyatakan dalam bab dua yang memaparkan kisah antara orang yang ikhlas mencintai Allah seperti kisah Abdullah Amru Haram al-Ansari, seorang pemuda dari Bani Umar bin Salim dan Ja'far bin Abi Talib.

Syurga tempat bagi orang yang saling mencintai, khususnya mengagungkan dan menghormati Allah dan Rasulullah, memperbanyakkan selawat kepada-Nya.

Sudah pasti, dalam memastikan kesempurnaan kepada pesona cinta dalam segenap segi itu, umat Islam perlu mengetahui perkara yang dilarang dan sifat dibenci Allah. Antaranya sifat dengki, sombong, fanatik serta mewajibkan perkara yang tidak wajib.


Judul: Pesona Cinta
Penulis: Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni
Penerbit: Berlian Publications Sdn Bhd
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM14