Maskara Oscillation, Lancome

Jurusolek Lancome Colour Design Artists (LCDA) Pavilion Kuala Lumpur, Mohd. Ismienuddin Osman, 31, menjelaskan, meskipun penggunaan maskara sudah lama dipraktikkan dalam dunia solekan, tetapi masih ramai wanita yang ragu-ragu memakainya.

Teknik silang yang digunakan sebelum ini sukar dilakukan dan ia boleh mencomotkan wajah.

"Maskara sebenarnya menyerlahkan jendela mata. Sekiranya anda hanya memakai maskara di bulu mata kanan, hasilnya kelopak mata kanan kelihatan lebih galak berbanding mata kiri yang kelihatan pucat dan tidak bermaya," ujar Ismienuddin.

Semuanya dapat diatasi dengan menggunakan maskara terbaru, Oscillation, Lancome Paris.

Kemunculan maskara Oscillation diperhebatkan dengan kuasa mikro getar berteknologi tinggi.

Konsep yang diterapkan juga berbeza berbanding maskara konvensional.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ismie menjelaskan, hanya dengan menekan suis kecil yang terdapat di bahagian pemegang maskara, secara automatik Oscillation 'bergerak' melapisi setiap helaian bulu mata sehingga 360 darjah.

Setiap minit ayunan ia mampu menghasilkan 7,000 getaran bagi mendapatkan aplikasi yang sempurna tanpa memerlukan si pemakai melakukan teknik bersilang.

Cecair maskara Oscillation yang pekat dan hitam turut membantu melebat dan memanjangkan bulu mata.

Jika sebelum ini bulu mata anda sepanjang lima milimeter, tetapi dengan teknologi maskara Oscillation, lentikan bulu mata mampu mencecah antara tujuh hingga sembilan milimeter.

"Maskara yang direka oleh pereka maskara Lancome, Jean-Louis Gueret, begitu unik. Menyedari wanita kini sentiasa sibuk dan mengejar masa maka Lancome menghasilkan maskara Oscillation yang memudah dan mencepatkan solekan tersebut," ujar Pengurus Penjenamaan Lancome, Kelly Tan ketika ditemui Stailo di kaunter Lancome, Pavilion Kuala Lumpur.

Berus maskara Oscillation juga tidak menyakitkan dan menggelikan mata kerana ia diperbuat daripada plastik yang lembut. Ia selamat digunakan walaupun maskara perlu diaplikasikan bermula di bahagian akar bulu mata.

"Bateri Oscillation mampu bertahan selama enam bulan bersamaan 180 kali penggunaannya," jelas Kelly.

Maskara Oscillation dijual di kaunter Lancome pada harga RM120 sebatang bermula April 2009.