Minuman MTea Misai Kucing

Sejak diperkenalkan, sebanyak 40,000 kotak (setiap kotak mengandungi 20 uncang) MTea Misai Kucing telah dikeluarkan dan mensasarkan 100,000 kotak pada akhir tahun ini.

"Produk MTea boleh didapati di semua 40 buah cawangan pasar raya Mydin, kiosk Melaka Sentral dan akan diperluaskan pengedarannya ke kedai Mesra Petronas serta cawangan 7-Eleven", kata Ramli.

Oleh itu, rebutlah peluang "nikmatilah kesegaran MTea Misai Kucing" sekarang. "Rendamkan satu uncang teh MTea dalam air panas selama 5 hingga 10 minit dan ia sedia untuk diminum."

Melaka Biotech Holdings Sdn Berhad, bertanggungjawab untuk memasarkan produk MTea manakala syarikat Pemasaran Melaka Sdn Bhd bertindak sebagai antara pengedar produk berkenaan.

"Perniagaan produk MTea merupakan satu daripada aktiviti perniagaan yang mampu menjana pendapatan kepada Melaka Biotech Holdings Sdn Bhd", tambahnya bahawa promosi produk itu sedang giat dijalankan termasuk pada pameran yang dijalankan di peringkat negeri dan antarabangsa.


TUMBUHAN HERBA

Penolong Pengurus Melaka Herbs and Plants Sdn Bhd, Samsuddin Manaf berkata, pokok misai kucing ialah tumbuhan herba perubatan yang berasal dari negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand, daripada keluarga "Lamiaceae".

Katanya, pokok misai kucing ialah pokok herba renek yang tumbuh sehingga mencapai ketinggian 1.5 meter dan nama saintifiknya Orthosiphon stamineus, Benth berbunga ungu dan Orthosiphon aristatus, Benth berbunga putih.

Pokok misai kucing adalah sejenis pokok berbunga dan sering ditanam sebagai pokok perhiasan di laman rumah dengan bunga terdapat pada "vertical" lebih kurang 16 cm panjang berwarna putih dan ungu kebiru-biruan dengan filamen yang panjang seperti misai kucing, katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladang tanaman pokok misai kucing syarikat itu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Selandar, Jasin.

Daun misai kucing tersusun dalam pasangan yang bertentangan, berasa licin, berwarna hijau, berbentuk tirus di hujung dan tepi daun berjereji, tangkai daun pendek lebih kurang 0.3 cm panjang dan berwarna ungu-kemerahan.

Batang pokok misai kucing berbentuk empat segi, berwarna kemerahan, tumbuh tegak dan bercabang-cabang.

ANAK BENIH MENCUKUPI

Katanya, pokok renek ini juga tumbuh liar di kawasan hutan, tepi jalan dan tanah terbiar secara menjalar di atas tanah dan tidak pula meninggi.

Samsuddin berkata setakat ini, syarikatnya telah menanam pokok misai kucing di kawasan seluas 2.8 hektar di Machap, Alor Gajah dan 1.4 hektar di TKPM Selandar.

"Dari segi anak benih, kita tidak menghadapi masalah kerana bekalan anak pokok misai kucing dibekalkan oleh anak syarikat Perbadanan Bioteknologi Melaka iaitu Invitro Tech Sdn Bhd, melalui kaedah kultur tisu", katanya.

Beliau berkata, pihaknya menanam sebanyak 80 peratus pokok misai kucing varieti Orthosiphon aristatus kerana ia berdaun banyak dengan batang yang kecil manakala 20 peratus lagi dari varieti Orthosiphon stamineus.

Selepas tiga bulan ditanam dan dijaga dengan baik, pokok misai kucing sudah boleh dituai dan dihantar ke Perbadanan Bioteknologi Melaka untuk diproses menjadi Mtea.

KHASIAT MISAI KUCING

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka Profesor Dr Ramli Hitam memberitahu Bernama di sini, MTea yang diperbuat daripada 100 peratus daun misai kucing mengandungi banyak khasiat yang berfaedah untuk kesihatan manusia dan sebagai minuman kesihatan ia membantu dalam mencegah penyakit.

"Misai kucing telah digunakan secara turun temurun sebagai ubat untuk penyakit berkaitan kapilari dan peredaran darah, batu karang, darah tinggi dan kencing manis", katanya.

Beliau berkata, herba misai kucing juga digunakan untuk mencegah penyakit buah pinggang, jangkitan usus kencing, masalah hati, pundi kencing dan gout.

Mengikut kajian perbadanan itu, daunnya yang sudah dikeringkan adalah bersifat diuretik dan membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan.

Sebagai sebuah organisasi yang menjalankan pelbagai projek penyelidikan dan pembangunan, produk MTea menjadi antara produk hasil penyelidikan perbadanan itu.