Haiwan Teladan dari al-Quran

Judul: Haiwan Teladan dari al-Quran
Penerbit: Pustaka Azhar
Penulis: Nor Azlin Japar
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM58.80 (12 buku)

Ada banyak cara untuk mendidik anak supaya mengikut perbuatan atau amalan baik dan salah satu daripadanya melalui pembacaan. Kisah menarik bukan saja boleh merangsang minat membaca malah, menggalakkan pencarian ilmu pengetahuan.

Himpunan 12 buku siri Haiwan Teladan dari al-Quran adalah bahan bacaan yang dicadangkan kepada ibu bapa sebagai kaedah membimbing anak melalui penceritaan. Ia kerana kisah dan teladan selalunya mudah diterima sebagai fakta benar oleh kanak-kanak.

Buku mengisahkan haiwan yang disebut dalam al-Quran seperti ular, burung merpati, lembu betina dan ikan menyingkap keistimewaan mereka dalam perjuangan menegak agama Allah serta teladan boleh dicontohi anak-anak.

Buku ini menggunakan bahasa mudah difahami dengan ilustrasi menarik yang pastinya akan mendorong kanak-kanak untuk mengetahui kisah haiwan yang menjadi fokus cerita.

Kepintaran dan kebijaksanaan haiwan itu dipaparkan dalam buku cerita Lembu Betina yang Suci, Merpati Hidup Semula, Orang yang Tidak Beriman Menjadi Beruk, Tongkat Menjadi Ular, Kisah Unta Betina, Mengikut Perbuatan Gagak dan Gajah Raja Abrahah.

Buku lain ialah Hukuman Nabi Daud, Pengorbanan Ikan Nun, Anai-anai Mengerit Tongkat Nabi Sulaiman, Qitmir Anjing yang Cerdik dan Jasa Burung Pipit.

Selain himpunan buku Haiwan Teladan dari al-Quran, Pustaka Azhar turut menerbitkan Himpunan Kisah Perjuangan Nabi iaitu 16 buku mengenai nabi dan rasul yang berdepan dengan cabaran serta tentangan musuh mereka.

Kisah yang dipaparkan bukan asing bagi kanak-kanak serta orang dewasa kerana ia adalah petikan sejarah yang sudah sebati dengan kehidupan umat Islam. Bagaimanapun, gaya persembahan buku dengan bahasa mudah dan gambar menarik memberi kelainan.

Setanding dengan buku cerita rakyat yang menjadi kepercayaan masyarakat, kelebihan Himpunan Kisah Perjuangan Nabi ialah kisah diketengahkan penuh dengan teladan untuk menyedarkan generasi hari ini sejarah perkembangan Islam.

Kesanggupan nabi dan rasul menghadapi tentangan musuh mereka membuktikan keimanan teguh kepada Allah dan ini perlu diberi penekanan dalam mendidik anak hari ini terutama ketika berhadapan pelbagai cabaran.

Set yang dijual pada harga RM78.80 itu antara lain menceritakan kisah Nabi Nuh dengan kapal besarnya, Nabi Adam dan korban Habil dan Qabil, Nabi Ibrahim berdepan kezaliman Raja Namrud serta kisah kedegilan penduduk bandar Sadum menerima ajaran Nabi Lut.

Kisah diketengahkan sesuai dibaca semua lapisan umur kerana walaupun ditujukan kepada kanak-kanak, perjalanan hidup nabi sewajarnya sentiasa diulang baca untuk mende-katkan kita kepada perjuangan mereka mengembangkan agama Allah.