Microsoft umum inovasi ‘Visual Studio 2010’

Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd (Microsoft) mengumumkan inovasi terkini dikenali ‘Visual Studio 2010’, .NET Framework 4 dan 'Silverlight 4' bagi memudahkan proses pembangunan keseluruhan di samping membolehkan pemaju menyasarkan platform baru dan membina aplikasi berkualiti tinggi.

Pengurus Besar Perisian Ekonomi Tempatannya, Azli Jamil berkata, Malaysia dipilih sebagai satu daripada lima lokasi pelancaran seluruh dunia berdasarkan pertumbuhan dan komuniti pemaju yang kukuh.

Menurutnya, pada masa ini, Malaysia menempatkan lebih 60,000 pemaju yang menandakan komitmen syarikat untuk merangsang dan mematangkan komuniti pemaju tempatan.

“Kami yakin 50 peratus daripada 60,000 pemaju ini akan menjadi pelanggan dalam masa dua tahun.

“Selain itu, kami turut yakin dapat mencatatkan pertumbuhan berganda bagi kadar penembusan selaras usaha syarikat mempromosikan segala aktiviti dengan agresif,” katanya pada majlis pelancaran barisan inovasi itu di Subang Jaya, semalam.

Hadir sama, Pengurus Pemasaran Penyelesaian Produknya, Tan Siak Kwan dan Pengarah Kanan Pembangunan Pemasaran Peralatan Perbadanan Microsoft, Dave Mendlen.

Azli berkata, sasaran penembusan lebih tinggi sejajar hasrat kerajaan mentransformasikan negara kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.

"Apabila situasi itu berlaku, syarikat global akan lebih berminat mengambil kelebihan daripada kepakaran negara; sekali gus memainkan peranan kecil dalam membawa Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.

’Visual Studio 2010’ bertujuan menyediakan persekitaran bersepadu bagi alat-alat dan infrastruktur pelayan yang memudahkan proses pembangunan aplikasi keseluruhan.

.NET Framework 4 menambah sokongan bagi piawaian industri, lebih pilihan bahasa, sokongan baru bagi permohonan peringkat pertengahan peringkat tinggi termasuk pemasangan program selari dan bergandingan dengan .NET Framework 3.5.

Kerangka aplikasi sesawang ‘Silverlight 4’ pula menawarkan media kuasa pengguna dan keupayaan aplikasi perniagaan yang membenarkan pemaju membawa pengalaman aplikasi wajib di dalam atau di luar sesawang.