Rawatan Laser Untuk Kecantikan

Ribuan wanita mahupun lelaki begitu teruja mencari rawatan kosmetik bagi tujuan kecantikan. Rawatan itu juga merujuk kepada rawatan yang boleh menghilangkan parut hodoh atau hirsutisme (keadaan berbulu yang berlebihan terutamanya kepada wanita).

Kajian menunjukkan mereka yang mempunyai masalah kulit seperti jerawat, pigmentasi atau tatu lama yang tidak diinginkan lagi akan mengalami kemurungan atau kurang keyakinan diri untuk berdepan dengan khalayak.

Pengarah Klinikal Pusat Kecemerlangan: Pembedahan Plastik, Kosmetologi, Dermatologi dan Lecur Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Dr. M. Nasir Zahari memberitahu, dengan adanya teknologi yang canggih kini, rawatan laser merupakan satu pilihan rawatan yang efektif bagi masalah kosmetik dan kulit.

"Teknologi laser mengalami revolusi yang besar untuk rawatan dalam keadaan tertentu dalam bidang dermatologi, pembedahan plastik dan kosmetik.

"Rawatan ini sangat berkesan dan mereka yang telah melalui prosedur rawatan, biasanya terkejut dengan hasil selepas rawatan. Ia tidak mendatangkan bahaya kepada pesakit malah hasilnya amat mengagumkan," katanya.

Menyedari akan ketaksuban atau keprihatinan mengenai kecantikan kulit, PCMC memperkenalkan Pusat Laser Kosmetik kepada umum ketika mengadakan Hari Terbuka Laser Kosmetologi di hospital itu baru-baru ini.

PCMC memperkenalkan enam teknik rawatan laser untuk kulit dan memperbaharuinya dengan menyediakan program penyampaian perkhidmatan yang komprehensif.

Hari terbuka tersebut bertujuan memperkenalkan rawatan laser kosmetik untuk pembedahan menegangkan kulit, pembesaran dan pengecilan payu dara, pembedahan plastik untuk membentuk semula atau memulihkan kelopak mata.

Rawatan tanpa bedah

Teknologi laser dermatologi selalu digunakan dalam rawatan radang, ekzema, psoriasis, jangkitan kulit seperti bakteria, virus dan jangkitan kulat, selain beberapa masalah kecil iaitu pembuangan rambut dan menegangkan kulit.

Revlite, Gentle YAG, VBeam, Visia, Lumenis One dan Smart Xide Dot merupakan peralatan canggih yang digunakan dalam rawatan untuk merawat keadaan atau masalah kulit yang berlainan. Ini adalah teknik rawatan tanpa bedah yang popular bagi menegangkan kulit dan pembesaran payu dara.

PCMC juga menawarkan perkhidmatan analisis kulit kepada pesakit yang berminat atau yang memerlukan rawatan laser bagi mendapatkan pemahaman mengenai masalah kulit mereka. Selepas analisis dilakukan, pesakit akan dinasihatkan mendapatkan rawatan yang diperlukan, kesan sampingan dan cara penjagaan.

M. Nasir menjelaskan, kebiasaannya rawatan laser mengambil masa 15 hingga 40 minit bermula daripada pesakit memasuki bilik menjalankan prosedur rawatan.

"Pesakit mungkin memerlukan sehingga lima kali rawatan bagi mendapatkan hasil yang memuaskan. Tempoh masa bagi setiap rawatan adalah di antara tiga hingga empat minggu bergantung kepada keadaan kulit seseorang pesakit itu.

"Walaupun teknologi laser mampu merawat segala jenis penyakit, namun ia ada batasannya. Pesakit akan diberikan pemahaman yang baik mengenai masalah mereka, rawatan dan cara penjagaan selepas melakukan analisis kulit," ujarnya.

Perkhidmatan analisis kulit percuma disediakan kepada orang awam yang berminat untuk mendapatkan rawatan itu.

Teknologi laser kosmetik itu tidak memerlukan ciri keselamatan khas atau rawatan susulan. Apa yang perlu dilakukan ialah pelembap tambahan dan penapisan cahaya selepas prosedur dijalankan.

Jauhi matahari

Pesakit yang sudah mendapatkan rawatan laser akan menjadi lebih yakin dengan penampilan masing-masing. Kesan selepas rawatan adalah minimum dan pesakit hanya dinasihatkan menghindari cahaya matahari serta menjaga kulit mereka dengan baik.

Bagi memberikan seri dan nafas baru pada kulit, pesakit perlu mengikuti beberapa tip yang mudah iaitu minum lapan gelas air satu hari, menggunakan toner bebas alkohol untuk membersihkan kulit, menyapu losen dan bersenam seperti disarankan.

Pada Hari Terbuka Laser Kosmetologi itu, PCMC memberikan pendedahan mengenai rawatan laser dengan menampilkan pakar runding dalam bidang pembentukan semula plastik kosmetologi, dermatologi dan lecur iaitu Dr. Yap Lok Huei, Dr. Gangaram Hemandas, Dr. Guru Ratnavel dan M. Nasir sendiri.

Mereka memberi ceramah mengenai pembuangan lemak melalui kaedah laser menggunakan lipolisis, pengurusan kesan parut, rawatan laser pembuangan rambut dan masalah pigmentasi.

Oleh NURUL IZZA ROSLY