Ringgit dijangka terus mengukuh dan meningkat kepada RM3.00 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, peningkatan mata wang negara itu adalah seiring dengan mata wang lain di rantau ini termasuk yuan.
''Ringgit dijangka bergerak selari dengan pertumbuhan ekonomi,'' katanya ketika ditemui selepas taklimat Ekonomi Korporat ke-15 di sini hari ini.
Mata wang tempatan itu pernah mencapai paras tertinggi pada kadar RM3.18 berbanding dolar AS kira-kira dua tahun lalu.
Ringgit didagangkan lebih tinggi pada awal dagangan hari ini kepada RM3.1890 berbanding RM3.1990 ketika penutup semalam.
Mengulas lanjut Dr. Zakariah berkata, pengukuhan ringgit dijangka menarik lebih banyak pelabur asing ke dalam negara, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi domestik.
Kemasukan pelabur asing bakal memberi banyak peluang ekonomi termasuk pekerjaan, peningkatan pengeluaran dan nilai tambah.
''Perkembangan ini akan mendorong lebih banyak nilai tambah dalam ekonomi dan ia baik untuk rakyat Malaysia,'' katanya.
Pada masa yang sama Dr. Zakariah berkata, secara teorinya, peningkatan nilai ringgit memberi kesan negatif jika perdagangan dilakukan menggunakan mata wang tempatan tetapi kebanyakan urus niaga eksport dan import kini adalah berasaskan dolar AS.