Anak tudung Nara @ Beautiful Nara

Selepas fesyen tudung awning yang mencipta 'gelombang' fenomenanya di kalangan wanita muslim di negara ini, pernah terdetik di hati penulis apakah pereka tudung akan mampu mengubah perhatian penggemar fesyen bertudung selepas rekaan tudung awning yang begitu praktikal pemakaiannya, selepas ini.


Nyata, trend tersebut sudah kelihatan sedikit berubah sejak penghasilan tudung yang berinspirasikan dari tudung Syria mula mendapat tempat di hati pemakai tudung di negara ini.

Trend memakai anak tudung yang diperbuat dari kain jersee, lycra atau kain kapas yang dipadankan dengan tudung luar pasang siap atau selendang nampaknya bakal mencetuskan fenomenanya yang tersendiri.

Walau ada segelintir yang menyifatkan pemakaiannya agak leceh berbanding tudung awning, namun istilah itu tidak wujud bagi individu yang gemar bergaya apa saja asal mereka tampil bergaya dan cantik. Lagipun tiada salahnya bergaya selagi mengikut syariah yang telah ditetapkan agama Islam.

Pemilik Butik Nara, Nafisah Amran berkata, mengambil inspirasi dari tudung Syria, dia mengubah suai anak tudung tersebut menggunakan fabrik yang lebih selesa, tidak panas dan mudah digunakan oleh wanita Malaysia.

"Kelebihan anak tudung Nara ialah ia nya panjang, dan kalau sesiapa yang memakainya dengan selendang yang agak jarang, anak tudung itu berfungsi sepenuhnya untuk menutup rambut, jadi tidak perlu risau aurat terdedah," katanya yang ditemui pada sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nafisah berkata, terdapat lebih 18 warna menarik boleh dipilih dan ia boleh dipadankan dengan selendang yang beraneka warna.

"Jika tidak mahu memilih selendang, kami juga menyediakan tudung sarung yang lebih mudah pemakaiannya. Pengguna boleh memilih kombinasi warna mengikut cita rasa mereka sendiri," tambahnya.

Jelas Nafisah, Butik Nara yang beroperasi secara dalam talian kini ternyata mendapat maklum balas positif dari kebanyakan pengguna yang mahukan anak tudung keluaran mereka. Dia yang mengusahakan butik tersebut bersama kakak iparnya, Affizan Mahat, turut mempunyai kumpulan tukang jahit khas yang berpengalaman dalam menghasilkan anak tudung yang berkualiti jahitannya.

"Boleh dikatakan sejak kami memperkenalkan anak tudung Nara di pasaran Disember tahun lalu, permintaan terhadapnya meningkat sehingga 1,000 tempahan anak tudung sebulan.

"Kami juga menyediakan maklum balas pengguna dan dapati kebanyakan pelanggan kami adalah di kalangan wanita bekerjaya seperti setiausaha, pegawai dan pelajar universiti. Malah ada di kalangan mereka yang mengirimkan gambar cara mereka memakai anak tudung Nara dan dari situ kami juga mendapat ilham untuk mempelbagaikan lagi cara pemakaiannya," jelas Nafisah lagi.

Lebih istimewa pemakaian anak tudung Nara ini boleh dilapisi sehingga tiga lapisan bergantung kepada warna pakaian yang anda pakai.

Nafisah turut memberi lima ilham cara pemakaian anak tudung Nara yang boleh disesuaikan untuk apa jua majlis dari santai, pejabat hinggalah ke majlis formal.

Untuk melihat lebih pilihan tentang cara pemakaian anak tudung Nara sila layari laman web butiknara.com atau butik.beautifulnara.com.