iTalk Whoa

Telekom Malaysia Berhad (TM) melancarkan portal komunikasi bersepadu, iTalk Whoa, sekali gus menjangkakan mampu menarik 200,000 pelanggan iTalk baru menjadikan keseluruhan pengguna produk itu seramai 500,000 orang menjelang akhir tahun ini.


Naib Presiden Eksekutif Penggunanya, Jeremy Kung, berkata jumlah pelanggan iTalk yang mula diperkenalkan pada 2005 kini mencecah 300,000.

Beliau berkata, menerusi iTalk Whoa, pengguna boleh membuat panggilan, bersembang menggunakan pesanan segera, membuka akaun e-mel serta menghantar SMS berasaskan web.

“Lebih menarik, pengguna juga boleh membuat panggilan antarabangsa menerusi Internet pada kadar serendah 11 sen seminit.

“Dengan pengenalan iTalk Whoa, kami menjangka mampu memperoleh 500,000 pelanggan menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab selepas majlis pelancaran iTalk Whoa di Subang Jaya, kelmarin.

Kung berkata, pengenalan kemudahan terbaru itu menepati cita rasa pengguna terutama golongan muda dan eksekutif profesional yang lebih cenderung menggunakan saluran Internet untuk berhubung dan membuat panggilan antarabangsa.

“iTalk Whoa menyatukan laman sosial pengguna seperti Facebook dan Twitter dalam satu platform untuk mereka menyusun atur rangkaian sosial masing-masing.

“Portal ini turut menawarkan kadar panggilan suara yang rendah dan panggilan percuma dari komputer peribadi (PC) ke PC untuk pelanggan TM.

“Selain itu, TM turut melancarkan kempen menarik apabila menawarkan kredit iTalk percuma bernilai RM5 kepada 8,000 pengguna terawal yang mendaftar untuk mencuba laman web iTalk Whoa yang boleh diakses menerusi www.italkwhoa.com,” katanya.

iTalk Whoa, kadar SMS dari PC ialah 10 sen untuk setiap SMS (tempatan) dan 60 sen setiap SMS antarabangsa.

Panggilan dail terus antarabangsa (IDD) pula bermula serendah 11 sen ke atas dan hanya boleh didapati menerusi iTalk Whoa.

Perkhidmatan iTalk meliputi 79 negara termasuk China, Arab Saudi, Taiwan dan Hong Kong.