Setelah dua tahun berbincang dan mencari rumusan terbaik, akhirnya Datuk Siti Nurhaliza mencapai impian mengeluarkan produk kecantikan atas namanya sendiri, Simplysiti yang dilancarkan dalam majlis istimewa hari ini.
Siti bukan sekadar menggunakan namanya sahaja sebaliknya turut turun padang dan mengeluarkan idea demi menghasilkan produk terbaik untuk pengguna. Sementelah dia sendiri turut menggunakan produk kecantikan dan kosmetik Simplysiti sejak ia dipasarkan sekitar dua minggu lalu.
Siti bersama model dalam majlis pelancaran di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.
"Siti sangat sibuk... sebab itu Simplysiti mengeluarkan bedak asas lima dalam satu, Simply 5 yang memudahkan urusan menyolek. Siti memang menggunakan Simply 5.
"Inilah impian Siti sekian lama... untuk memiliki produk kecantikan sendiri dan alhamdulillah hari ini segala-galanya telah menjadi kenyataan," kata Siti.
Siti tidak hanya bertindak selaku duta sebagaimana ketika bersama beberapa produk kecantikan sebelum ini, sebaliknya turut memberikan idea.
Malah Siti dan orang yang arif dalam solekan turut memilih warna yang sesuai untuk rangkaian gincu Simplysiti.
"Siti dan jurusolek terkenal Nurul Shukor berbincang untuk memilih warna gincu. Siti ada warna kegemaran Siti sendiri dan dalam masa yang sama Siti juga menerima idea orang yang lebih arif dalam hal berkaitan solekan," kata Siti lagi.
Kalau lagu-lagunya boleh menembusi pasaran luar dan mendapat pengaruh besar di sana, Siti juga mahu membawa produk kecantikannya ke sana.
Setakat ini Siti menyenaraikan Indonesia, Singapura, Brunei dan negara-negara Arab sebagai sasaran pemasaran Simplysiti.
Apatah lagi produk Simplysiti mendapat kelulusan produk halal. Status halal yang diperolehi akan memudahkan usaha membawa Simplysiti ke negara-negara Arab.
Kalau memasarkan produk baru, pasti memerlukan kos tinggi untuk mempromosikannya agar kehadirannya diketahui oleh khalayak.
Siti menjadikan rangkaian Media Prima sebagai rakan strategik dalam memastikan produk keluarannya disedari oleh pengguna.
"Setakat ini kami hanya memasarkan Simplysiti di rangkaian kedai Watson sahaja. Kami juga akan membuka kiosk Simplysiti dari semasa ke semasa dengan Johor Bahru sebagai destinasi pertama pada April nanti," kata Siti yang sudah 15 tahun bergelar anak seni.