Peraduan Bonanza Orang Kampung (OK) tawar Perodua Alza

Sebuah kenderaan MPV jenis Perodua Alza 1.5 yang berharga kira-kira RM60,000 bakal menanti pemenang utama Peraduan Bonanza OK anjuran syarikat pengeluar produk kesihatan berasaskan herba, Orang Kampung Corporation (M) Sdn Bhd.

Selain itu, sebuah motosikal Naza Blade 250cc turut disediakan kepada pemenang tempat kedua peraduan berkenaan yang kini sudah memasuki musim keempat.

Turut disediakan adalah hadiah bulanan pakej percutian empat hari tiga malam ke Jakarta/Bandung untuk 15 pemenang bertuah selain enam televisyen LCD 32 inci, enam komputer riba, enam set alat senaman (Gym Samson Exer), enam kamera digital Canon, enam telefon PDA HTC dan enam utas rantai serta loket emas.

Pengarah Eksekutif Orang Kampung Group, Habibul 'Ajmi Manggar, berkata tujuan peraduan itu diadakan adalah sebagai kempen dan promosi tahunan terhadap semua produk syarikat milik penuh Bumiputera itu selain menghargai kesetiaan pengguna yang sentiasa menyokong setiap keluaran Orang Kampung sejak ia ditubuhkan pada 1975.

Katanya, bagi peraduan kali ini, pihaknya menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM170,000 iaitu pertambahan nilai hadiah berbanding sebelum ini.

"Senarai pemenang bulanan akan dimaklumkan melalui akhbar tempatan dan laman web kami, manakala tarikh serta tempat majlis penyampaian hadiah akan diumumkan pada penghujung Julai depan,'' katanya pada sidang media pelancaran peraduan itu di kilang syarikat terbabit di Kawasan Perindustrian Merlimau, dekat sini, semalam.
Habibul 'Ajmi berkata, sejak peraduan itu dianjurkan, sambutan orang ramai terhadap produk syarikat ini amat menggalakkan sekali gus pihak syarikat meneruskannya lagi tahun ini dengan penyediaan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.2 juta membabitkan penambahan kos hadiah, aktiviti pemasaran dan promosi.

Beliau berkata, pengguna produk atau orang ramai yang berminat untuk menyertai peraduan itu boleh mendapatkan borang penyertaan di beberapa pasar raya iaitu Mydin, Tesco, Giant dan Carrefour selain rangkaian 7-Eleven, Watson, Guardian, kedai runcit, kedai ubat, farmasi, pasar mini dan stesen minyak.

Katanya, mereka juga boleh melayari laman web syarikat iaitu www.orangkampung.com atau www.orangkampung.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai peraduan terbabit.