Berbuka Puasa di Restoran Intai-Intai

Kenikmatan berbuka puasa di persekitaran seperti di rumah Melayu dengan seni binaan daripada kayu, berhadapan pula dengan tasik dan dikelilingi oleh pokok-pokok serta dihiburkan dengan bunyi cengkerik dan katak membuatkan anda seperti berada di kampung.

Memilih tema berbuka puasa Nuansa Tradisi Ramadan 2010, pemilik restoran Intai-Intai, Baha Azman Nor berkata, beliau menyediakan lebih daripada 101 jenis hidangan Thai ala Bangkok hawker foods' dan masakan kampung Kelantan yang menjadi kegemaran ramai orang.

Katanya, antara makanan Thai yang boleh dinikmati di restoran yang terletak di Ampang ini ialah ayam berempah dengan sos tom yam, ayam goreng berempah cili kering, ayam goreng dengan salad mangga, tom kha gai, kari daging hijau, sambal petai udang, udang galah masak lemak nanas, ikan keli bercili dan sebagainya.

Baha yang berasal dari Kelantan turut tidak melupakan makanan popular negeri itu seperti nasi kerabu kubang kawah bersama lauk-pauk seperti ayam percik, daging bakar, telur masin, hirisan ulaman segar juga nasi dagang dengan gulai ikan tongkol bersama telur dan acar rampai dan laksam.

''Pelanggan turut boleh memilih pelbagai jenis makanan di gerai-gerai yang kami sediakan. Seperti gerai satu yang dinamakan Bangkok Street Food terdapat makanan Bangkok, iaitu som tam, mee daging Thai , laksa Thai, pulut ayam goreng dan pulut mangga.

''Di gerai dua pula yang dinamakan Ala Minute disediakan Phad Phed Style, ladna, phad Thai, makanan laut dan bihun, mee serta kueyteow.

''Bagi peminat makanan bakar boleh ke gerai tiga kerana di sini terdapat kerang bakar, otak-otak, daging bakar dan kepak ayam panggang.

''Di gerai empat, iaitu Goreng-gorengan menyediakan cucur bilis, jemput-jemput pisang, goreng pisang, keledek, cempedak, keladi dan untuk kanak-kanak ada nuget ayam,'' ujarnya.

Jika masih lagi belum puas, anda boleh ke gerai lima yang menyediakan yong tow foo, gerai enam air batu campur, cendol dan thub tim krob manakala di gerai tujuh khusus untuk pelbagai jenis minuman seperti teh tarik, cincau selasih serai, bandung selasih soda dan leng chee kang.

Tidak sah rasanya jika tidak merasa bubur-bubur seperti bubur kacang, bubur pulut hitam, pengat pisang, kuih-muih Melayu seperti talam lapis ubi, kuih bakar, seri muka talam lapis cendol, kole kacang, pencuci mulut Thai, iaitu pulut mangga, pulut durian dan kastad labu.

Menurut Baha, bufet Ramadan Intai-intai bermula daripada pukul 6.30 petang hingga 10 malam.

Harga untuk hidangan bufet dibahagikan kepada dua, iaitu 1 - 7 Ramadan RM39.90 untuk dewasa Kanak-kanak lima hingga 12 tahun RM20 dan 8 - 28 Ramadan (RM48 untuk dewasa Kanak-kanak lima hingga 12 tahun RM25)

Setiap tempahan secara berkumpulan seramai 10 orang dan ke atas akan diberikan seorang percuma.

''Restoran Intai-intai adalah lokasi sesuai bagi meraikan seisi keluarga, rakan taulan, sanak saudara dan rakan niaga pada musim perayaan ini kerana kami menawarkan bufet Aidilfitri serendah RM35 seorang.

''Selain itu kami turut menawarkan pelbagai pilihan hamper eksklusif untuk Ramadan dan hari raya serta tempahan korporat. Pelanggan boleh melihat sendiri hamper yang kami sediakan di restoran sepanjang bulan puasa ini,'' tambah Baha lagi.

Untuk tempahan, hubungi Baha di 012-2882424.