Berbuka puasa dengan masakan Thai adalah antara pilihan sajian yang popular di kalangan rakyat Malaysia dan tidak hairanlah kebanyakan restoran atau gerai yang menyediakan hidangan ini sering dipenuhi pengunjung.
Bagi penggemar sajian Thai yang ingin berbuka puasa secara eksklusif dengan suasana tenang, berhawa dingin dan menikmati sajian tanpa sebarang gangguan kunjungilah Restoran Sri Ayutthaya.
Hiasan dalaman Sri Ayutthaya yang menawan dan menarik pastinya menggamit kehadiran pengunjung untuk berbuka puasa.
Tidak seperti kebanyakan restoran setarafnya atau hotel yang menyediakan sajian berbuka puasa secara bufet, Sri Ayutthaya memberi lebih keselesaan buat pengunjung dengan cara memilih set menu pilihan.
Sepanjang Ramadan ini, Sri Ayutthaya menyediakan dua set menu untuk pengunjung. Tempahan untuk kedua-dua hidangan ini mestilah sekurang-kurangnya empat orang bagi setiap set dengan harga ditawarkan RM70 ++ seorang.
Set pilihan pertama menyediakan tom yam makanan laut, kerabu mangga, filet ayam panggang Thai dengan sos kunyit, udang goreng garing dengan sos rayong, ikan goreng garing dengan labu, ketam kulit lembut digoreng bersama sos pudina, brokoli goreng dengan scallop, nasi kukus, pemanis mulut dan jus tembikai.
Untuk set kedua pula pengunjung dihidangkan dengan tom yam makanan laut, kerabu rambutan, filet ayam panggang dengan hirisan laici, udang goreng daun selasih, ikan goreng bersama kari labu, ketam kulit lembut goreng bersama mangga muda, asparagus goreng dengan scallop. nasi kukus, pemanis mulut dan jus tembikai.
Ketua Pengiklanan dan Promosi Sri Ayutthaya, Denise Kong, berkata sajian yang diperkenalkan itu adalah istimewa untuk Ramadan ini.
"Kami menyediakan sajian Thai mengikut cita rasa tempatan dan pastinya memenuhi selera pengunjung," katanya.
Sajian kerabu rambutan sememangnya unik kerana ia disediakan mengikut cita rasa Malaysia dan rasanya begitu enak, rugi jika anda tidak mencubanya.
Selain itu, ketam kulit lembut juga menjadi pilihan pengunjung kerana bukan saja rasanya yang enak, malah digoreng garing, tambahan pula tidak banyak restoran yang menyediakan sajian ketam jenis ini.
Untuk memulakan berbuka puasa, restoran ini memberikan secara percuma minuman seperti bandung, sirap selasih atau cincau, dua biji kurma dan sejenis kuih.
Bagi pengunjung yang tidak mahu berbuka puasa dengan dua pilihan set menu itu, mereka boleh menempah hidangan yang sedia ada.
Memahami cita rasa rakyat Malaysia yang gemarkan teh tarik atau kopi, Sri Ayutthaya juga ada menyediakannya.
Sebagai menghormati umat Islam, Sri Ayutthaya turut menyediakan bilik solat dan ini memberi kelebihan buat pengunjung untuk menikmati hidangan dengan lebih tenang tanpa perlu tergopoh-gapah untuk pulang mengerjakan solat Maghrib.
Ditanya bagaimana cara untuk berbuka di restoran itu, Denise berkata, kebiasaannya pelanggan akan menelefon terlebih dulu dan menempah sajian mereka mahukan.
Bagi yang tidak membuat tempahan, kebiasaannya mereka datang lebih awal dan dapat menikmati sajian sebaik masuknya waktu berbuka puasa.
Memiliki jumlah tukang masak yang ramai dan berpengalaman, Sri Ayutthaya tidak berdepan masalah menyediakan untuk dinikmati pelanggan sebaik masuknya waktu berbuka.
Untuk tempahan hubungi talian 03-56310928 (USJ), 03-20942333 (Damansara) dan 03-41436883 (Wangsa Maju).