Bufet Ramadan Rasa Nusantara restoran Westside Bistro, Shah Alam

Sempena menyambut Ramadan beberapa hari saja lagi, restoran Westside Bistro, Shah Alam Convention Centre (SACC) memperkenalkan konsep baru, Rasa Nusantara untuk sajian bufet berbuka puasa.Konsep ala-Nusantara Melayu memberi kelainan sepenuhnya baik juadah yang disediakan hinggalah suasana persekitaran yang memaparkan hiasan ala kampung.

Memahami keinginan masyarakat bandar yang kadangkala bosan dengan suasana sibuk dan hirukpikuk kota, konsep berkenaan dipilih bagi pelanggan yang teringin menikmati suasana mendamaikan ala kampung dengan juadah enak masakan rumpun Melayu. Malah, hiasan dalaman secara keseluruhannya sambil diserikan dengan alunan muzik tradisional ghazal juga memberi suasana seperti berbuka puasa di kampung halaman.

Pengerusi Siera Management Sdn Bhd, Datuk Mohammad Adan, berkata selari dengan konsep hidangan Nusantara dibawa dari Kepulauan Melayu yang juga dikenali sebagai Rumpun Melayu, Westside Bistro turut menyediakan resipi asli tradisional dari Sumatera, Jawa, Lampung, Selatan Thailand, Filipina, Brunei dan juga keaslian masakan Malaysia.

"Konsep dan cita rasa selera berkenaan sudah pasti menyelerakan kerana masyarakat tempatan lebih gemar menikmati sajian ala kampung berbanding masakan ala Barat ketika berbuka puasa. Sajian enak itu juga secara tidak langsung mengekalkan cita rasa warisan masakan Asia kepada generasi muda," katanya ketika berucap sempena melancarkan konsep baru Bufet Ramadan Rasa Nusantara di Westside Bistro, Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam, baru-baru ini.

Setiap menu yang dihidangkan berlainan dari hari ke hari mengikut cita rasa rumpun Melayu. Bermula dengan pembuka selera seperti bubur lambuk, sup tulang, kerabu, ulam tempatan, sebelum hidangan utama juga disediakan. Menariknya sajian utama antaranya nasi beriyani, ayam masak lemak cili padi, acar rempah masak berkacang, ikan keli goreng, pindang ikan baung, gulai cumi, mysore kambing, sayur pucuk manis lemak putih, ikan masak masam manis, kembong sumbat kelapa dan banyak lagi boleh dicuba.

Memeriahkan suasana dan melengkapkan pakej Rasa Nusantara, Westside Bistro turut menyediakan manisan dan pemanis mulut enak seperti buahbuahan tempatan, buah kurma, kek dan pastri, cendol sagu gula melaka serta lapan jenis kuih muih. Antara yang menjadi tarikan di sana ialah gerai ais krim Lezzetto yang menyediakan juadah penyejuk badan selain terdapat cendol dan juga air batu campur.

Selain hanya dapat menikmati sajian yang disediakan pada bahagian dalam restoran, pelanggan juga boleh menikmati sajian yang disediakan di luar bangunan SACC menerusi 10 gerai kecil yang dibuka khas.

Tanpa perlu membayar lebih, pelanggan boleh mencuba sajian enak seperti roti john, roti bom, lidah lembu bakar dan air asam, sate, char kuetiau, mi kari nyonya atau bihun, kambing bakar bersama sos lada hitam dan juga makanan Jepun seperti tempura serta okra.

Pakej berkenaan adalah penyelesaian untuk memilih jalan terbaik menikmati sajian berbuka puasa. Paling penting adalah bajet selain dapat merasai pengalaman seiring dengan konsep bersama kualiti masakan yang dihidangkan.

Mohamad berkata, selepas menikmati sajian pelanggan boleh menunaikan solat Maghrib di bangunan SACC untuk lelaki dan perempuan.

Pelanggan yang tidak mahu ketinggalan menunaikan solat Tarawih, juga boleh berbuat demikian menerusi permintaan.

"Kami menyediakan imam dan bilal sepanjang majlis berbuka puasa di Westside Bistro untuk bersembahyang berjemaah. Namun, atas permintaan, kami juga akan mengadakan solat Tarawih di SACC bagi memudahkan pelanggan mengerjakan solat," katanya.

Pelbagai keperluan disediakan. Sehubungan itu, orang ramai dijemput menikmati sajian konsep rasa Nusantara pada harga promosi serendah RM38++ seorang bagi tempahan sebelum 13 Ogos untuk dewasa. Harga berlainan iaitu RM48++ seorang dewasa dan RM30 ++ bagi kanak-kanak berumur antara enam hingga 10 tahun.

Namun, bagi mereka yang tidak mengambil pakej Rasa Nusantara boleh menikmati sajian di luar dengan dikenakan bayaran mengikut sajian makanan yang dikehendaki.

SACC menggalakkan pelanggan yang ingin mendapatkan kadar istimewa boleh membuat tempahan awal sebelum 13 Ogos ini bagi menikmati promosi tawaran sepanjang bulan puasa.

Bufet Ramadan Rasa Nusantara

* Lokasi:Westside Bistro,

PusatKonvensyen SACC,

Shah Alam, Selangor.

* Telefon: 03-55118858

* Laman web: www.saccconvenstioncentre.com/promotions atau hubungan talian atau emailkan kepada nash@ saccconventioncentre.com.