Buffet Ramadan Ala Kampung di Hotel Star City, Alor Setar

Ramadan ini, Hotel Star City menghidangkan hampir 100 jenis menu hasil sentuhan chef Rosli Shuib.



Berkonsepkan hidangan ala kampung, hotel yang terletak di Jalan Putra, Alor Setar, Kedah itu memulakan promosinya dari 13 Ogos hingga 9 September ini pada harga istimewa.

Pada minggu pertama, harga yang ditawarkan untuk orang dewasa ialah RM35 dan kanak-kanak RM25 seorang berbanding harga biasa RM39 dewasa manakala kanak-kanak RM31.20.

Apakah kelainan lauk-pauk yang disediakan? Setiap hari hidangan ala kampung adalah berbeza di samping memasukkan juga cita rasa masyarakat Cina dan India.

Antara hidangan yang bakal membangkitkan selera ketika berbuka nanti ialah dalca kambing dan kentang, siput masak lemak cili padi, sayur brokoli dan cendawan hitam, ikan masak asam pedas, kerbau daging tomato dan ulam kampung.

Bagi pencuci mulut pula, pelbagai jenis kuih-muih ala kampung disediakan seperti kuih lopes, seri muka, cendol, jeli, puding dan buah-buahan.

"Kita juga akan menghidangkan ayam, daging dan ikan bakar bagi membangkitkan selera pelanggan yang datang secara berkumpulan ataupun berkeluarga," katanya.

Ruang makan di The Paddy Coffee House yang terletak di tingkat bawah hotel tersebut boleh menampung seramai 150 orang dalam satu-satu masa. Kemudahan surau juga disediakan untuk bersolat.

Lebih istimewa, untuk membangkitkan suasana kampung, pihak pengurusan hotel akan menyediakan sebuah bilik khas di Malinja Room bagi membolehkan pelanggan menikmati makanan sambil bersila dalam ruang dekorasi rumah kampung.

"Bilik ini boleh memuatkan sehingga 15 orang, namun ia bergantung kepada permintaan. maka, siapa cepat dia dapat.

"Pihak hotel juga akan membuat demonstrasi masakan oleh Chef Rosli setiap hari Ahad, Selasa dan Khamis, selain persembahan tarian serta tayangan filem Tan Sri P. Ramlee," kata Pengurus Jualan dan Pemasaran Hotel Star City, Ivy Teh.

Untuk keterangan lanjut atau tempahan, orang ramai boleh menghubungi jabatan jualan dan pemasaran di talian 04-735 5888 atau hantarkan e-mel ke alamat sales@starcity.com.my.