Makanan di muka pintu

Anda tidak sihat dan tidak larat untuk masak mahu pun keluar berbuka puasa di luar. Telefon pula sarat dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) rakan yang mahu ke rumah untuk bertemu anda. Terlintas di fikiran menu masakan kampung sebagai juadah berbuka kerana sudah muak dengan menu makanan segera. Lalu apakah pilihan anda?

Dilema inilah yang pasti dihadapi bukan saja mereka yang tidak sihat, tetapi ramai lagi warga kota yang terlalu sibuk mengejar masa sehinggakan tidak sempat menjenguk dapur memasak juadah berbuka. Ramai yang selesa bergelar generasi `penunggu' makanan yang dihantar daripada keluar mencari makan, terutama ketika Ramadan.

Menyedari masalah itu, ada pengusaha yang menawarkan khidmat penghantaran makanan ke rumah. Sebelum ini, usaha itu lebih tertumpu kepada penghantaran mangkuk tingkat. Bagi sesetengah warga kota, mangkuk tingkat adalah penyambung kepada tradisi kehidupan dengan membekalkan makanan. Jika di India, mereka popular dengan `dabbawala' (orang yang menghantar kotak makan tengah hari) dan di Jepun dengan kotak makanan atau bento.

MangkukTingkat.com adalah satu organisasi yang aktif dalam perkhidmatan penghantaran makanan, selain keenakan dan kebersihan makanan yang dijamin.

Ia lazimnya menyediakan perkhidmatan membekalkan makanan tengah hari dan malam. Sajian itu disediakan pembekal yang dilantik syarikat dan dihantar ke lokasi ditetapkan tempahan pelanggan yang dibuat setiap Isnin hingga Jumaat, berikutan tiada perkhidmatan pada Ahad dan cuti umum.

Dan selaras perkembangan masa, kebersihan dan mesra alam, syarikat itu kini mengutamakan penghantaran makanan menggunakan bekas plastik yang lebih mudah dikendalikan.

Apa yang pasti, perkhidmatan MangkukTingkat.com sebeginilah sering menjadi pilihan warga kota ketika Ramadan.

Seperti diakui Pengarah Urusan MangkukTingkat.com, Khairul Anuar Rahman, kehadiran Ramadan menjadikan mereka tidak menang tangan kerana kekurangan kakitangan untuk menyediakan makanan berbanding hari biasa.

"Setakat ini kami menerima lebih 300 tempahan yang merangkumi kawasan sekitar Lembah Klang. Ketika ini, 80 peratus daripada pelanggan adalah golongan pekerja. Demi memastikan kualiti dan keenakan makanan terjaga kami juga mempunyai 20 operator yang memasak untuk MangkukTingkat.com.

"Saban hari, permintaan kian banyak. Perkhidmatan kami membantu menyenangkan pelanggan dengan menghantar terus ke tangan pelanggan. Mereka hanya perlu menunggu dan kami akan hantar," katanya.

Mengenai harga, Khairul Anuar berkata, harga serendah RM11 yang ditawarkan bagi bulan ini sama seperti hari biasa malahan mereka turut menitipkan buah dan kurma secara percuma.

"Demi menghargai pelanggan kami masih mengekalkan harga biasa dan menambah sedikit manisan seperti kurma untuk mereka. Namun harga sajian program MangkukTingkat.com adalah berbeza setiap bulan. Harga yang ditetapkan juga mengikut harga pasaran bahan mentah dan kadar upah.

"Kami akan merujuk kepada beberapa sumber antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Kami juga akan sentiasa memastikan bahawa harga sajian adalah berada pada tahap yang berpatutan," katanya.

Ada hampir 100 menu yang berlainan setiap hari disediakan termasuk masak merah, rendang, kari, asam pedas, dan masak lemak.

"Pelanggan boleh memilih sama ada inginkan ayam, daging atau ikan dalam penyediaan makanan.

"Kami ada keluarkan jadual untuk pelanggan kami melihat sendiri menu yang disediakan melalui laman web. Dalam sebulan boleh dikatakan kami akan menyediakan menu yang berbeza setiap hari," katanya.

Walaupun mempunyai 20 operator yang memasak untuk setiap kawasan, MangkukTingkat.com masih berupaya mengekalkan keenakan makanan yang sama selain kuantiti makanan yang sama.

"Demi menjaga kualiti dan memastikan keenakan makanan sama setiap kawasan, kami menggunakan pes dan dihantar kepada semua operator. Dengan cara ini tidak timbul isu makanan berlainan rasa dan semua pelanggan akan berpuas hati. Ada sukatan khas untuk setiap operator seperti kuantiti nasi, potongan ayam dan ikan apa yang patut dibeli. Ini semua dipantau oleh pengurusan MangkukTingkat.com sendiri," katanya.

Apa yang menarik, mulai bulan depan, penghantaran akan dilakukan menggunakan motosikal yang mempunyai kotak khas di belakangnya. Malah setiap penghantar makanan akan memakai seragam syarikat itu.

"Dulu kami hantar menggunakan kereta dan motosikal, tetapi September nanti kami melangkah setapak lagi dengan bekerjasama dengan sebuah syarikat penghantaran untuk mengambil makanan dari operator dan menghantar terus kepada pelanggan kami. Setakat ini kami lihat cara sebegini lebih cepat dan pelanggan juga berpuas hati," katanya.

Bekas plastik ganti mangkuk tingkat

TIADA lagi mangkuk tingkat dalam perkhidmatan penghantaran makanan MangkukTingkat.com, sebaliknya ia digantikan dengan bekas plastik yang lebih mesra pengguna selain dapat memastikan kebersihan terjaga dan kedap udara.

"Banyak faktor kami tak menggunakan mangkuk tingkat lagi kerana inginkan kebersihan terjaga kerana kami berikan bekas pakai buang. Berbanding mangkuk tingkat mereka terpaksa basuh dan kami akan ambil semula.

"Kini tidak perlu lagi dan boleh menjimatkan kos pengambilan semula mangkuk tingkat. Bekas ini diperbuat daripada plastik berkualiti tinggi dan selamat jika dimasukkan ke dalam ketuhar pemanas. Ini satu langkah untuk kami lebih ke hadapan dalam perkhidmatan penghantaran makanan.

"Jika guna mangkuk tingkat, banyak tempat kita tak boleh masuk kerana ada penggera pengesan logam. Selain itu juga kami menanggung kerugian kerana ada yang tidak pulangkan semula mangkuk tingkat kami," katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai penubuhan asal syarikat itu, Khairul berkata, program ini berdasarkan kejayaan `dabbawala' di Mumbai, tetapi disesuaikan dengan keadaan di negara ini dan apa yang membezakan adalah mangkuk tingkat di Malaysia adalah versi teknologi alam maya.

Ia pada mulanya ditadbir oleh Yayasan Pembangunan Nur Hikmah dan memberi peluang kepada ibu tunggal menambah pendapatan dengan menjadi operator kepada program ini dan hasil keuntungan akan disalurkan kepada anak yatim dan kurang bernasib baik. Program ini selaras kedudukan Yayasan Pembangunan Nur Hikmah sebagai penaung kepada lebih 200 anak yatim, miskin dan terbiar di enam pusat jagaan seluruh Malaysia.

Selain ibu tunggal, waris yang menjaga anak yatim mempunyai tanggungan masing-masing dan menyertai program ini sebagai pembekal makanan meringankan beban kewangan mereka.

"Memang dulu masa mulamula Yayasan Pembangunan Nur Hikmah yang uruskan, tetapi kini tidak lagi. Mereka masih berada di belakang kami, cuma MangkukTngkat.com sudah berdiri sendiri dan mempunyai pengurusan sendiri.

"Operator kami juga tidak lagi hanya terdiri daripada ibu tunggal malahan kami membuka peluang kepada semua yang ingin menambah pendapatan sebagai operator atau lebih mesra kami gelar rakan niaga.

"Buat masa ini kami masih menerima beratusratus permohonan untuk menjadi operator atau rakan niaga kami. Bukan saja di Lembah Klang malahan di luar seperti Johor, Perak, Melaka dan sebagainya. Cuma kami ingin menumpukan dulu di sekitar Lembah Klang.

"Kami mempunyai perancangan untuk luaskan ke seluruh negara dan apa yang kami sentiasa hajati adalah untuk menjadikan perniagaan ini sebagai francais. Dengan itu perniagaan sebegini akan lebih besar selain membantu menaikkan taraf kewangan semua," katanya.